Seorang lelaki dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh isterinya dengan menolaknya ke dalam laut dari sebuah feri.
Lelaki tersebut, dikenali sebagai Li, berusia 47 tahun, didakwa melakukan perbuatan kejam ini
pada 5 Mei 2021 ketika mereka sedang dalam perjalanan dari Dalian ke Yantai, China.
Mayat isterinya ditemukan 45 minit kemudian selepas Li mendakwa kejadian itu adalah satu kemalangan.
Namun, pihak polis mula mencurigai kejadian tersebut apabila mereka menyedari bahawa lokasi yang didakwa sebagai tempat mangsa terjatuh adalah kawasan yang sukar diawasi
, walaupun feri tersebut dilengkapi dengan lebih daripada 200 kamera pengawasan.
Siasatan lanjut mendapati bahawa Li menghadapi masalah kewangan yang serius dan sering berhutang dengan kakitangannya serta pembekal restoran yang diusahakannya di Shanghai.
Lebih mencurigakan, Li telah membeli empat polisi insurans hayat untuk isterinya hanya dua bulan selepas mereka berkahwin, dengan dirinya dinamakan sebagai penerima tunggal. Jika isterinya meninggal dunia akibat kemalangan semasa menaiki kenderaan, pampasan dari kesemua empat polisi itu boleh mencecah sehingga 12 juta Yuan (RM7.8 juta).
Selepas kematian isterinya, Li tergesa-gesa meminta sijil kematian daripada pihak polis dengan alasan adat tempatan menghendaki pembakaran mayat dalam tempoh tiga hari.
Siasatan polis turut mendedahkan bahawa Li juga baru sahaja menempah pelacur beberapa minggu selepas kematian isterinya.
Li akhirnya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh.
BACA; Jabatan kesihatan dedah 4894 kes penyakit berjangkit di PPS ada kaitan dengan banjir