Kawasan segi tiga emas di Jalan Bukit Bintang terus menjadi sasaran peniaga asing untuk menjalankan perniagaan haram.
Terbaru, mereka dikesan sebagai peniaga jalanan haram, dikenali sebagai ‘penjaja rambo’, yang menjual pelbagai barangan seperti hiasan,
bunga, permainan kanak-kanak, belon, dan hiasan berlampu di kawasan tumpuan pelancong tersebut.
Tinjauan wartawan mendapati kebanyakan ‘penjaja rambo’ ini berasal dari Bangladesh, Filipina, Myanmar, dan Indonesia.
Mereka didapati meraih keuntungan hingga ratusan ringgit setiap malam tanpa perlu menyewa premis atau membayar lesen perniagaan.
Keuntungan mudah ini menyebabkan mereka mula ‘menguasai’ kawasan tersebut, terutama pada hujung minggu.
Wartawan sempat menemubual seorang penjaja bunga yang mengesahkan mereka mampu menjual antara 100 hingga 200 kuntuman bunga pada hujung minggu. Lelaki dari Bangladesh itu berkata, dia mula berniaga dari jam 5 petang di kawasan pusat beli-belah Pavilion hingga ke Jalan Conlay.
“Satu kuntum bunga dijual dengan harga RM15. Di sini memang ramai orang, terutama pelancong asing yang tidak tahu kami ini warga asing. Kami akan berjalan kaki di kawasan tumpuan orang ramai. Di sini memang jarang ada operasi, dan jika ada, kami akan lari pulang ke rumah kerana kami tinggal di kawasan berhampiran,” katanya.
Seorang penjaja wanita dari Filipina pula mengakui dia memperoleh keuntungan tinggi dengan menjual belon berlampu.
“Kawasan ini memang ramai pengunjung dan jarang diawasi pihak berkuasa, tidak seperti di Dataran Merdeka yang sering diserbu. Kami di sini lebih selamat dan mudah memperoleh keuntungan.
Saya sudah tiga bulan menjaja di sini dan tidak pernah dihalang. Kenapa tidak membenarkan kami berniaga?” kata wanita tersebut yang kelihatan tidak selesa dengan soalan wartawan.
Tindakan kumpulan peniaga jalanan ini dilihat mencabar pihak berkuasa kerana mereka tidak mempunyai lesen dan menyebabkan gangguan serta masalah kebersihan di laluan awam utama.
Selain itu, ‘penjaja rambo’ ini juga menjejaskan aktiviti penjaja berlesen yang turut menjalankan perniagaan di sekitar kawasan tersebut.
BACA: ‘Orang yang rapat je tahu..’ Penyampai Radio dedah rahsia Fazura