Setiap individu mempunyai impian untuk menjadi kaya-raya supaya segala keperluan dan kehendak dapat dipenuhi.
Di Malaysia, orang Cina sering dikaitkan dengan kehidupan berkecukupan.
Walaupun mengumpul kekayaan dan mengekalkannya bukan perkara mudah, namun bukan sesuatu yang tidak mungkin.
Baru-baru ini, seorang wanita yang dikenali sebagai Kakwa Lina berkongsi
lima rahsia orang Cina dalam membina kejayaan dan kekayaan melalui laman Facebook.
1. Bantu adik-beradik
Lina menceritakan mengenai sepupunya, anak sulung dalam keluarga, sebagai contoh inspiratif.
Menurut Lina, sepupunya mempunyai rahsia kejayaan dalam perniagaan dengan membina bisnes bersama tiga adik-beradiknya yang menguruskan perniagaan berkaitan dengan kereta.
Ini adalah kerana dalam budaya orang Cina, mereka tidak rela melihat adik-beradik yang lain menghadapi kesukaran hidup sementara mereka menikmati kehidupan yang selesa.
Akibatnya, semua adik-beradik sepupunya berjaya menjadi jutawan dengan membuka tiga jenis premis perniagaan, termasuk bengkel kereta, servis pendingin hawa, dan kedai aksesori serta ubah suai kenderaan.
2. Kembang harta sedia ada
Bagi orang Cina yang memiliki jumlah wang dalam ratusan ribu ringgit, mereka cenderung tidak menggunakan wang tersebut untuk berpoligami. Menurut mereka, hidup berpoligami hanya akan menambah beban dan mengurangkan nisbah harta apabila dibahagikan di masa akan datang.
Menurut Lina, mereka lebih suka menggunakan wang tersebut untuk membeli rumah atau hartanah bernilai RM100,000 sebagai pelaburan jangka panjang. Dengan membina portfolio hartanah, keuntungan boleh berganda sehingga dua kali lipat dalam tempoh 10 tahun.
Oleh itu, tidak menghairankan jika golongan dewasa lebih memilih untuk tinggal bersama ibu bapa berbanding tinggal di rumah sendiri. Mereka menggunakan lebihan wang untuk membeli rumah dan menyewakannya kepada orang lain atau membuka perniagaan yang lebih menguntungkan seperti pasar raya.
Perebutan harta dalam keluarga Cina jarang berlaku kerana mereka cenderung untuk berpakat dan mengembangkan harta bersama melalui perniagaan keluarga.
3. Gembira atas kejayaan orang lain
Pernahkah anda perasan bahawa kedai Cina yang baru dibuka sering kali dihiasi dengan pelbagai jambangan bunga dan ucapan semoga berjaya dalam perniagaan kepada pemilik bisnes?
Hal ini kerana mereka turut merasa gembira dengan kejayaan ahli keluarga atau rakan-rakan yang berjaya dalam bidang perniagaan, dan sebagai tanda kasih sayang dan sokongan agar ibu bapa mereka tidak akan menghadapi kesukaran.
Lina menjelaskan bahawa tidak perlu merasa hasad dengki kerana kita sendiri dapat melihat sendiri perjuangan yang mereka lalui dalam membina perniagaan mereka.
Kebanyakan dari masyarakat Cina lebih cenderung untuk memberi sokongan dengan membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan dari sesama mereka.
4. Simpan dahulu sebelum belanja
Menurut Lina, lebih baik jika duit yang dimiliki disimpan dalam Simpanan Tetap (fixed deposit), unit amanah, atau dalam akaun bank. Kaedah ini bertujuan agar kita hanya menggunakan hasil keuntungan daripada pelaburan yang dilakukan.
Bagi Lina, jika ingin membeli sesuatu, sebaiknya ditangguhkan keinginan tersebut sehingga hujung bulan. Jika terdapat lebihan duit pada akhir bulan, barulah gunakan duit tersebut untuk membeli barang yang diinginkan.
Lina juga menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai kelebihan dalam dunia pelaburan kerana mereka boleh menyimpan wang dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
5. Tak suka berhutang
Lina menyatakan bahawa orang Cina tidak gemar berhutang untuk membeli barangan seperti telefon pintar, peti sejuk, atau perabot. Sebaliknya, mereka cenderung untuk mengumpul duit dan menahan nafsu untuk membeli keperluan secara tunai tanpa membayar faedah.
Biasanya, mereka hanya berhutang untuk membeli rumah dan kereta, namun berusaha untuk melangsaikannya dengan cepat untuk mendapatkan rebat. Memandangkan nilai kereta menurun dengan pantas, mereka cenderung untuk memilih kenderaan daripada jenama Honda dan Toyota yang memerlukan kos servis yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, masih terdapat golongan Cina yang memilih untuk membeli kereta mewah, namun mereka berusaha untuk melangsaikan hutang dengan cepat demi mengurangkan cukai pendapatan.
BACA: Rumah jadi sarang tikus? Guna je 3 bahan ini ‘confirm’ cik ti tak berani balik rumah