Patutlah ramai gemar makan mee, rupanya tikus merupakan rahsia kesedapan mee keluaran jenama ini. Tikus berkeliaran di sekitar tempat pemprosesan makanan serta terdapat najis haiwan di merata premis terbabit.
Itu keadaan jijik sebuah kilang memproses mi di Jalan Segambut Selatan, Segambut di Kuala Lumpur yang diserbu anggota Unit Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Jurucakap DBKL berkata, pemilik kilang terbabit didapati tidak melantik syarikat kawalan serangga perosak secara berjadual menyebabkan kehadiran haiwan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati lantai dan dinding tempat penyediaan makanan juga kotor dan berdaki selain tandas di dalam premis berkenaan kotor serta berbau,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, semakan mendapati tiga pengendali makanan di kilang terbabit adalah bukan warga tempatan.
“Mereka (pekerja warga asing) didapati tidak mempunyai suntikan tifoid, tidak memakai penutup kepala dan apron semasa mengendalikan makanan.
“Peralatan, kelengkapan serta mesin pemprosesan makanan juga dalam keadaan kotor dan usang selain lokasi serta keadaan struktur premis tidak sesuai dijadikan kilang pemprosesan makanan,” katanya.
Menurutnya, tindakan penutupan premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 diambil terhadap kilang berkenaan berkuatkuasa hari ini.
“Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan kebersihan premis boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800883255 atau terus berhubung dengan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL untuk tindakan lanjut,” katanya.
BACA:
Kewujudan Geng Motor yang kerjanya hanya pancung leher orang buat orang ramai ketakutan
Sorok ratusan bilion harta diluar negara , bekas Menteri Kewangan disiasat SPRM