Dua orang suspek disyaki menggunakan wang simpanan Sabari sebanyak RM16,000 untuk berjudi di Batam selepas mengambilnya dari akaun bank.
Menurut laporan Sinar Harian, kontraktor berusia 38 tahun itu dipercayai telah pergi ke Batam, Indonesia bersama seorang lagi suspek
Dia yang merupakan anak saudaranya untuk berjudi, selepas terlibat dalam insiden pembunuhan tersebut.
“Mereka dipercayai menggunakan wang hasil samun dengan berjudi di sebuah kasino di negara itu,” kata laporan tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, menyatakan bahawa kedua-dua suspek telah ditahan oleh pihak berkuasa di selatan tanah air setelah pulang dari Batam.
Difahamkan, kedua-dua suspek mempunyai masalah ketagihan judi, termasuk judi atas talian.
Sebelum ini, polis mengesahkan bahawa motif Sabari diikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap adalah kerana wajah suspek terdedah semasa melakukan samun.
“Namun, selepas wajah suspek dikenali oleh mangsa, mereka mengambil tindakan segera dengan mengikat tangan Sabari, menutup mulutnya dengan pita pelekat, dan mencampakkan mangsa ke dalam sungai,” ujar Datuk Fisol.
Sehingga kini, jasad Sabari, seorang pesara pegawai kewangan Felcra, masih belum ditemui walaupun operasi mencari telah dihentikan.
Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling, dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Walau bagaimanapun, kereta Proton Waja yang dipandunya ditemui telah hangus terbakar di Belantik, Sik, namun tiada tanda-tanda kelibat Sabari di lokasi tersebut.
BACA: Coldplay dedah album vinyl dihasilkan dari sampah sungai di Malaysia dan Indonesia