Setiap tahun, ahli-ahli Parlimen diberi gaji dan elaun sebagai pengiktirafan kepada mereka kerana menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Peruntukan ini merangkumi gaji sebagai Ahli Parlimen, bayaran kehadiran ke sidang Dewan Rakyat, elaun untuk mesyuarat, dan banyak lagi. Jumlah keseluruhan, jika dihitung, boleh mencapai hampir RM40,000.
Tidak hanya itu, mereka juga layak untuk menerima wang pencen jika mereka berkhidmat selama 36 bulan atau tiga tahun.
Artikel ini akan menunjukkan gaji dan elaun yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
Berikut adalah gaji dan senarai elaun yang mereka layak terima:
Gaji: RM16,000 sebulan
Kehadiran mesyuarat Parlimen: RM400 sehari
Kehadiran mesyuarat, bengkel & seminar agensi kerajaan: RM300 sehari
Elaun keraian: RM2,500 sebulan
Bayaran istimewa untuk MP bukan dalam pentadbiran: RM1,500 sebulan
Elaun tetap perjalanan: RM1,500 sebulan
Elaun bahan api: RM1,500 sebulan
Elaun tol: RM300 sebulan
Elaun pemandu: RM1,500 sebulan
Pembelian telefon bimbit: Hingga RM2,000 setiap dua tahun
Elaun bil telefon: RM900 sebulan
Pembelian komputer: Hingga RM6,000
Bantuan bayaran pakaian black tie : Hingga RM1,500 setiap tiga tahun
Elaun pakaian rasmi istiadat: Hingga RM1,500
Elaun pakaian sejuk
Lesen kenderaan percuma
Lawatan rasmi – Penerbangan kelas eksekutif
Lawatan rasmi – Penerbangan kereta api kelas pertama
Tugasan dalam negara melebihi 32 kilometer dari rumah: Elaun hotel sehingga RM400 semalam
Bayaran harian semasa perjalanan perniagaan: Dalam negara – RM100 semalam, Luar Negara – RM170 semalam
Elaun makan minum bertugas rasmi di luar negara: RM340 semalam
Wad kelas satu bilik perseorangan di hospital kerajaan: Percuma
MP layak pencen selepas kerja 36 bulan
Ahli Parlimen juga berhak menerima pencen setelah mencapai 36 bulan perkhidmatan yang boleh diambil kira dan mencapai usia 50 tahun.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilaporkan menerima elaun bulanan purata antara RM6,000 dan RM15,000.
ADUN dari Sarawak mendapat gaji bulanan tertinggi sehingga RM15,000, diikuti oleh Melaka (RM12,000), Selangor dan Pulau Pinang masing-masing RM11,500. Manakala Kedah, Terengganu, dan Pahang masing-masing RM11,000. ADUN Perak dan Perlis pula menerima gaji terendah RM6,000 sebulan.
Penyesuaian gaji terbaru untuk ADUN berdasarkan kenaikan pada 2013, kecuali Melaka (2023), Sabah (2022), Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, dan Pahang (2015), serta Negeri Sembilan (2014).
Bagi Ahli Parlimen dan ADUN yang juga memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mereka menerima wang tambahan antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.
Kabinet sebelum ini bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dan pengumuman mengenai tempoh serta tarikh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas tetapi golongan baharu yang dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam bersetuju agar pencen ahli politik dimansuhkan seiring dengan pelaksanaan skim tidak berpencen penjawat awam baharu.
BACA: Kisah murid 7 tahun gendong adik ke sekolah setiap hari undang sebak ramai