Pasang niat meninggal di Mekah boleh masuk syurga ke? Ini jawapan Ustaz

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Mekah merupakan tempat yang sangat diidamkan oleh umat Islam dan dianggap sebagai Kota Suci.

Selain daripada tujuan mengerjakan ibadah, ada juga segelintir orang yang berhasrat untuk mengakhiri hayat mereka di Mekah

kerana dipercayai bahawa mereka akan masuk syurga. Lantas, ramai yang tertanya-tanya mengenai hukum memiliki niat untuk meninggal di sana dan kecewa apabila impian itu tidak tercapai.

Berikut adalah penjelasan daripada seorang ustaz mengenai perkara ini.

APA HUKUM ADA NIAT NAK MENINGGAL DI MEKAH?

Pasang niat meninggal di Mekah boleh masuk syurga ke? Ini jawapan Ustaz

Ustaz Syamsul Amri, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat, memberi penjelasan berhubung pertanyaan seseorang yang ingin tahu hukum berniat meninggal dunia di Mekah atau Madinah semasa mengerjakan umrah.

Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian hanya kerana musibah yang menimpanya. Kalau pun ingin melakukan itu, katakanlah: ‘

Ya Allah, hidupkanlah aku jika hidup itu memang baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika wafat itu memang baik bagiku.’” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Ustaz Syamsul menegaskan bahawa tujuan utama kita pergi ke Mekah adalah untuk beribadat, bukan untuk meminta mati.

Setiap orang masih memiliki banyak tanggungjawab di tanah air dan banyak pahala yang boleh diperoleh jika umur kita panjang.

Jika semua orang mahu mati di sana, siapa yang akan menjaga agama dan melaksanakan tanggungjawab yang masih perlu dilaksanakan di dunia?

Beliau turut menjelaskan bahawa ada sesetengah orang percaya bahawa jika mati di Mekah atau Madinah, seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga.

Namun, niat untuk mati hanya kerana alasan itu adalah salah. Apa yang penting ialah niat kita untuk mati, dan itu yang perlu difahami dengan jelas.

MINTALAH MATI DALAM HUSNUL KHATIMAH

Ustaz Syamsul menambah bahawa tidak salah untuk berharap mati di Mekah atau Madinah, tetapi yang tidak boleh diterima adalah berusaha atau mencari jalan untuk mati di sana.

Yang lebih penting adalah untuk memohon mati dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik). Tidak kira di mana kita meninggal dunia, jika kita mati dalam husnul khatimah, itulah yang terbaik.

Meninggal dunia ketika sedang mengerjakan haji atau umrah juga diharapkan dapat termasuk dalam husnul khatimah.

Secara kesimpulannya, kita harus mempersiapkan diri kita dengan amalan yang baik untuk menghadapi kematian. Adakah kita sudah cukup bersedia?

Adakah amalan kita mencukupi untuk dibawa menghadap Tuhan? Janganlah kita terlalu sibuk mengejar dunia sehingga terlupa akan pentingnya hari akhirat.

Amalan yang kita lakukan di dunia inilah yang akan menentukan tempat kita di akhirat nanti.

 

Doa daripada anak yang soleh dan sedekah jariah adalah bekalan yang baik untuk hari kematian kita. Semoga kita semua mati dalam keadaan beriman.

BACA: Sering berdepan musim tengkujuh, KPM cadang pinda waktu pelaksanaan SPM