Pas tidak rugi main dua kolam, anak Razman jawab MB Perak

Pas tidak rugi main dua kolam, anak Razman jawab MB Perak

Susulan kenyataan Pengerusi Umno Perak Datuk Saarani Mohamad yang membidas Pas sebagai sebuah parti yang rugi apabila ‘main dua kolam’ anak Pesuruhjaya Pas Perak Muhammad Rif’aat Razman tampil menyekolahkan Menteri Besar Perak itu.

Menurut anak Razman Zakaria, Rif’aat strategi penyatuan ummah sukar untuk direalisasikan dalam konteks politik tetapi perkara itu boleh dilakukan kerana memenangi konflik politik bermaksud merampas kuasa dari satu kumpulan atau entiti dan memberikannya kepada kumpulan lain.

“Sedangkan berebut harta pusaka pun boleh menyebabkan putus saudara, berebut sempadan tanah pun boleh menyebabkan sesama jiran bermasam muka, sekadar nak lalu jalan melalui tanah dia pun ada yang tak beri kebenaran, inikan pula nak mengorbankan kuasa politik untuk diserahkan kepada orang lain.

“Dalam kes kekosongan kerusi di Parlimen Gerik sahaja, maklumat sampai kepada kami, tidak kurang 10 orang Umno yang melobi untuk menjadi calon. Kalau dalaman Umno pun berlaku perebutan untuk jadi calon maka adakah Umno sanggup untuk beri laluan kepada parti lain untuk bertanding?

“Mampukah Umno mahupun Pas mengorbankan kepentingan individu dan parti dengan melepaskan kerusi yang menjadi gelanggang tradisi pertandingan sejak 14 kali pilihan raya?” tegas beliau.

Terdahulu, Saarani membidas Pas Perak yang mahu berada di dua kolam iaitu bersama Umno dan bersama Bersatu.

Menurut Saarani Pas perlu menjelaskan kedudukannya itu atau akan kehilangan dua-dua rakannya itu, “Umno tak dapat, Bersatu pun tak dapat”.

Saarani meluahkan pandangan itu kerana bimbang Pas akan menjadi penyebab MN gagal menawan Perak pada PRU15 nanti.

Untuk rekod, Umno Perak sah bertanding di semua 27 kerusi dan Pas di tiga kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14.

Sementara itu, Rif’aat mempersoalkan apa perlunya Umno bergabung dengan parti lain sekiranya BN lebih menguntungkan Umno dengan BN sahaja Umno boleh kembali berkuasa.

“Permainan dan percaturan politik di negeri Perak mudah untuk dibaca; BN mahu bertanding 27 kerusi daripada 59 kerusi, Pas 3 kerusi, manakala selebihnya 29 kerusi dikatakan akan dirunding dan dibahagi-bahagikan.

“Selepas itu hanya 3 kerusi sahaja diperlukan untuk BN mencukupkan majoriti mudah bagi memerintah Perak secara bersendirian. Justeru sekiranya berada dalam kolam MN sekalipun, Pas tetap akan melepas, atau setidak-tidaknya, berada di pinggiran,” katanya.

Katanya, tidak sukar untuk menyingkirkan Pas daripada kerajaan, sebagaimana tidak sukar untuk menjatuhkan seorang Menteri Besar daripada parti minoriti melalui undi percaya, dan Perdana Menteri parti minoriti ini juga sedang menunggu giliran untuk menghadapi nasib yang sama sekiranya YDPA tidak memperkenankan darurat politik dilaksanakan.

“Ingat, politik itu siapa dapat apa, bila dan bagaimana. Sifir mudahnya, apabila BN boleh bentuk kerajaan sendiri selepas PRU-15 dengan majoriti yang cukup, maka pembahagian kek kuasa tidak perlu dipotong lebih kecil.
Buat apa berkongsi dengan orang bila semuanya boleh dibolot seorang?” bidasnya lagi.

Bagaimanapun beliau menafikan matlamat politik Pas untuk mengejar kuasa semata-mata bahkan Pas lebih beruntung jika ‘terjun ke kolam’ BN daripada berendam dalam kolam gabungan parti setahun jagung yang tidak kuat seperti ular lidi dan tiada akar umbi.

“Kami faham pimpinan Umno tersepit dengan situasi yang amat sukar dan mencabar untuk membuat keputusan, antara mengikut desakan suara akar umbi, menjaga maslahah parti dan menjaga maslahah umat yang jauh lebih besar daripada parti.

“Sejak awal lagi kami semua sedar, formula pembahagian kerusi antara Umno dan Pas sendiri pun, tanpa mengambil kira parti-parti lain, adalah sangat rumit dan agak sukar untuk mendapat kata sepakat,” tambah beliau..

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pas-tak-rugi-main-dua-kolam-anak-pj-pas-sekolahkan-pengerusi-umno/