Pas belum bersedia ‘putus’ dengan Umno – Mursyidul Am. Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, parti itu tidak bersedia memutuskan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional yang disifatkan sebagai formula terbaik untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, rugi sekiranya hubungan itu tidak dipertahankan sekali gus mengingatkan Umno supaya tidak terburu-buru membuat keputusan.
Beliau berkata, salah satu fasal dalam piagam itu menyebut, jika berlaku sebarang perselisihan atau salah faham antara kedua-kedua parti itu, kembalilah merujuk al-Quran sebagai rujukan bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.
“Kita tidak pernah putus dengan Umno dan sentiasa menghormati perjanjian yang termeterai dalam piagam MN. PAS tidak sedia untuk putus dengan Umno dan berharap sebarang perselisihan dapat diselesaikan.
“Sebaik-baiknya kembalilah kepada penyatuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara ini dan janganlah berpecah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menyifatkan penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan PAS dan Umno sebagai formula terbaik.
Katanya, penyatuan itu tidak terhad kepada parti tertentu sahaja, sebaliknya boleh disertai mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan atau individu yang mempunyai matlamat sama, iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.
Namun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu berkata, kerjasama parti itu dengan PAS melalui MN perlu dilupakan menjelang PRU15.
Ini kerana katanya, parti itu sudah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung dalam piagam MN, namun ia tidak disepakati.
BACA:
PH dah mula bentuk jawatankuasa manifesto dan pilihanraya
Puteri Sarah hantar 2 peguam cari Ira Kazar, “jangan lari ya…”