Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak kerajaan untuk menggugurkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, daripada jawatannya susulan tuduhan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil tindakan tegas
kerana pengakuan Hannah didakwa bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
Menurut Mas Ermieyati, siasatan dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap Hannah serta penerbit buku Becoming Hannah yang dikatakan mengandungi elemen penyebaran agama Kristian secara halus.
“Dalam penghakiman mahkamah, kenyataan Musa tidak didapati bersifat fitnah.
Malah, Hannah sendiri, melalui bukunya, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.
“Walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengharamkan buku tersebut, kandungannya menimbulkan kebimbangan kerana usaha penyebaran agama Kristian bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mahkamah Tolak Saman Fitnah Hannah Yeoh
Sebelum ini, Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) turut mendesak Hannah meletakkan jawatan bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.
Desakan ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu yang menolak saman fitnah difailkan Hannah terhadap Musa Hassan.
Saman fitnah itu, difailkan pada 30 Januari 2020, dibuat selepas Musa mendakwa buku Becoming Hannah bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, di samping menuduh Hannah mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi yang didakwa merosakkan Islam serta Malaysia.
Tuntutan Mas Ermieyati
Mas Ermieyati menegaskan, keputusan penghakiman itu secara tidak langsung mengesahkan dakwaan bahawa Hannah terlibat dalam gerakan Evangelis dan usaha mengkristiankan negara.
“Pada 20 Mei 2017, Dr. Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pernah membuat laporan polis terhadap Hannah kerana mendakwa buku Becoming Hannah mengandungi unsur penyebaran agama Kristian yang berpotensi mempengaruhi pembaca Muslim.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, terdapat kemungkinan penyalahgunaan kuasa, kedudukan, serta peruntukan kementerian untuk melaksanakan misi peribadi Hannah sebagai pendakwah ‘duta Tuhan’,” katanya.
Mas Ermieyati turut memetik kandungan buku itu sebagai bukti. Pada halaman 14, Hannah didakwa menulis, “jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini,” manakala pada halaman 7, dia mengakui misinya sebagai ‘duta Tuhan’ untuk mencari pengikut.
Hannah juga dilaporkan mempromosikan bukunya secara meluas, termasuk menyatakan buku itu boleh dibeli secara atas talian atau di gedung-gedung buku utama.
Tindakan Undang-Undang
Menurut Mas Ermieyati, tindakan Hannah menyalahi undang-undang berdasarkan:
Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988.
Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan.
“Tindakan ini menimbulkan kebimbangan dan menuntut tindakan segera kerajaan bagi menjaga keharmonian masyarakat,” ujarnya.
BACA: ‘Malas layan tin kosong’ Ramli MS balas kritikan Man Bai