Satu kajian oleh National Transportation Safety Board (NTSB) di Amerika Syarikat telah mendedahkan bahawa
Penumpang yang duduk di bahagian belakang pesawat, selepas sayap, mempunyai peluang paling tinggi untuk selamat, iaitu sebanyak 69%
. Kajian ini juga menunjukkan bahawa penumpang di tempat duduk tengah mempunyai peluang 56% untuk selamat, manakala penumpang kelas pertama di bahagian hadapan pesawat hanya mempunyai peluang 49% untuk bertahan.
Selain itu, kajian lain yang dijalankan pada tahun 2012 melibatkan eksperimen menggunakan pesawat Boeing 727 di Gurun Mexico.
Pesawat tersebut dilengkapi dengan patung sebagai penumpang dan dipasangkan dengan kamera untuk merekodkan ujian pendaratan cemas.
Keputusan eksperimen ini menunjukkan bahawa bahagian hadapan pesawat adalah yang paling teruk terjejas, manakala 78% penumpang yang berada di belakang pesawat berjaya selamat.
Pada tahun 2015, penyelidik dari majalah Time pula menjalankan analisis dengan menggunakan data selama 30 tahun yang dikumpul oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan. Mereka merujuk kepada 17 kemalangan pesawat yang melibatkan penumpang dan anak kapal.
Hasil kajian ini mendapati bahawa tempat duduk di bahagian belakang pesawat, terutama satu pertiga paling belakang, memiliki kadar kematian paling rendah, iaitu 32%, berbanding dengan bahagian tengah (39%) dan hadapan (38%).
Baru-baru ini, beberapa insiden kemalangan pesawat yang mengejutkan dunia telah berlaku. Salah satunya adalah nahas yang melibatkan penerbangan Azerbaijan Airlines pada 25 Disember lalu yang meragut 38 nyawa.
Pesawat yang membawa 67 penumpang termasuk lima anak kapal itu terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan. Beberapa hari selepas itu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan kemalangan pesawat Jeju Air 2216, yang mengalami masalah pada gear pendaratan, menyebabkan seramai 179 orang terkorban.
Kedua-dua insiden ini memberi gambaran betapa pentingnya kesedaran mengenai keselamatan penerbangan dan bagaimana tempat duduk dalam pesawat dapat mempengaruhi peluang untuk selamat dalam situasi kecemasan.
BACA: