Pakar bagi 8 tips ini sebelum anda nekad nak beli motosikal terpakai. Namun, anda perlu mengetahui tips yang betul bagaimana untuk mengetahui adakah motosikal terpakai yang anda beli masih berfungsi dengan baik ataupun sebaliknya.
Selalunya mereka yang membeli motosikal terpakai disebabkan mungkin keadaan kewangan yang tidak mengizinkan untuk membeli yang baharu.
Jangan risau, tips-tips ini mampu membantu anda membeli motosikal terpakai yang menguntungkan kepada anda sendiri.
8 tips yang perlu diambil kira sebelum membeli motosikal terpakai
Sebelum anda memasang niat untuk membeli sebuah motosikal terpakai, anda perlu memikirkan terlebih dahulu beberapa hal-hal penting ini agar anda tidak tersalah membeli motosikal yang telah rosak dan seterusnya ia merugikan wang, masa, dan tenaga anda.
motosikal terpakai
1. Pastikan motosikal berada dalam keadaan standard/asal
Carilah motosikal yang masih berada dalam keadaan standard, kerana jika ia sudah dimodifikasi, berkemungkinan besar ianya akan mudah rosak dan meragam.
Selain itu, tips ini mampu mencegah anda daripada dikenakan saman atas modifikasi yang telah dilakukan pemilik sebelumnya.
2. Mempunyai geran
Geran ini merupakan dokumen yang mengesahkan identiti sesebuah kenderaan dan mempunyai nombor siri, pemilik berdaftar serta maklumat kenderaan yang didaftarkan seperti nombor enjin, casis buatan, model, kelas kegunaan dan lain-lain maklumat.
Kesemua maklumat tersebut adalah penting bagi mengesahkan bahawa kenderaan tersebut adalah kenderaan yang boleh serta disahkan penggunaannya di jalan raya di Malaysia.
Selain itu, dokumen ini juga mempunyai malumat atau rekod bayaran yang telah dilunaskan oleh pemilik kenderaan (pembayaran cukai jalan), pertukaran milikan, alamat serta rekod pemeriksaan.
Perkara ini sangat penting bagi mengesahkan sesebuah motosikal itu bukan motosikal curi dan bebas daripada saman trafik.
3. Periksa bahagian luaran dan dalaman
Sebelum membeli sesebuah motosikal terpakai, seeloknya periksa secara menyeluruh motosikal tersebut dan buat pertimbangan dengan sewajarnya.
Antara bahagian yang perlu diperiksa adalah paras minyak hitam, speedometer, kelurusan badan dengan tayar motosikal, dan sistem suspensi.
4. Periksa bahagian enjin
Periksa secara menyeluruh enjin motosikal jika terdapat bahagian yang retak. Sekiranya ada, ia boleh mendatangkan masalah lebih besar sekiranya sesebuah motosikal sudah dibeli, kerana memerlukan kos yang agak tinggi untuk dibaik pulih.
Selain itu, periksa jika ada kebocoran minyak pada bahagian karburetor, kerana masalah ini akan menyebabkan sesebuah motosikal susah untuk dihidupkan.
5. Periksa sistem wiring
Perhatikan sistem wiring motosikal, jika ada bahagian yang dipotong atau disambung bagi mengelakkan litar pintas. Periksa semua komponen seperti lampu hadapan, lampu belakang dan lampu isyarat.
6. Hidupkan enjin dan buat pemeriksaan
Hidupkan enjin motosikal dan dengar alunan bunyinya. Harus diingat, bukan bunyi motosikal yang perlu didengar, tetapi dengar dengan teliti bunyi pada bahagian enjin.
Jika motosikal berbunyi agak kasar, berkemungkinan rod atau bearing telah haus dan masalah ini memerlukan kos yang agak tinggi jika dibaik pulih.
Pulas pendikit minyak, rev secara berperingkat dan biarkan enjin dalam keadaan stabil. Ketika ini, dengar jikalau ada kejanggalan pada bunyi enjin.
7. Tunggang uji motosikal
Sebelum membeli, buat penilaian dengan menunggang uji sesebuah motosikal terpakai. Cuba bawa pada kelajuan 100-110km/j dan periksa tahap gegaran semasa menunggang.
Jika tahap gegaran masih sederhana, berkemungkinan motosikal tersebut masih berada dalam keadaan baik. Namun, jika tahap gegaran agak kuat, sebaiknya lupakan sahaja niat untuk membeli motosikal tersebut kerana berkemungkinan ia berpunca dari bahagian enjin.
Seterusnya cuba tunggang dalam kelajuan 40km/j dan pulas pendikit minyak dengan agak kuat. Jikalau anda rasa motosikal kurang pecutan, kemungkinan ada masalah pada plat klac atau klac automatik.
8. Dapatkan waranti
Tidak mungkin sesebuah motosikal terpakai betul-betul seratus peratus berada dalam keadaan baik. Kebiasaannya pihak kedai akan memberikan waranti selama sebulan atau lebih.
Jadi dalam tempoh tersebut, jika berlaku kerosakan, sila bawa motosikal anda ke kedai secepat mungkin.
Jangan buat sebarang pengubahsuaian terhadap motosikal anda dalam tempoh waranti kerana secara automatik waranti tersebut akan dimansuhkan oleh mereka.
Kesimpulannya, sebelum membeli motosikal terpakai, sebaiknya membawa kawan yang tahu serba sedikit tentang teknikal motosikal sekiranya anda adalah penunggang baharu. Mereka yang sudah berpengalaman sudah tentu tahu serba sedikit mengenai teknikal sesebuah motosikal.
Jadilah pengguna yang bijak, fikir dahulu sebelum membeli!
Sumber: https://www.motoqar.com/2023/51892/ini-8-tips-yang-perlu-diambil-kira-sebelum-membeli-motosikal-terpakai.html
BACA:
Wanita dedah cara nak kesan duit hasil rompakan dari ATM, tengok tanda ini