Padah ringgit lemah, harga kereta dijangka naik menggila. Harga kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata wujud kemungkinan besar akan berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar.
Katanya, bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Malaysia belum lagi memutuskan kenaikan harga kenderaan atau terus menyerap semua kos yang perlu ditanggung.
“Kenaikan harga bahan mentah, kos logistik, kejatuhan ringgit antara lain akan menjadi penyebab pengeluar terpaksa menaikkan harga kenderaan. Namun, ia belum diputuskan lagi.
“Jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir Jun ini tidak disambung, ia akan memburukkan keadaan sekali gus meningkatkan lagi harga kenderaan jika pengeluar memutuskan menaikkan harga produk mereka,” katanya ketika dihubungi BH
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah berkata, pengeluar kereta nasional itu masih cuba untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah supaya harga kenderaan keluaran PROTON dapat dikekalkan.
Bagaimanapun, katanya, jika keadaan memaksa selain mengambil kira pembabitan vendor, PROTON berkemungkinan terpaksa berkongsi kenaikan harga berkenaan dengan pelanggan.
“PROTON belum putuskan apa-apa lagi buat masa sekarang. Jika ada (kenaikan atau sebaliknya), kami akan umumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini kita masih lagi cuba menyerap kenaikan kos,” katanya.
Bagaimanapun, Penganalisis AmInvestment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly dalam nota penyelidikan, berkata dua pengeluar kenderaan sudah pun membuat pelarasan semula harga beberapa model keluarannya setakat ini dengan harga meningkat sehingga tujuh peratus.
“Langkah ini dilihat boleh mencetuskan kenaikan harga oleh pengeluar kereta lain, terutamanya jika trend kos input yang tinggi berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Muhammad Afif berkata, memandangkan permintaan yang kukuh ketika ini dan pesanan tertunggak yang berada pada tahap sihat selama dua hingga empat bulan, bank pelaburan itu menjangkakan kenaikan harga jika berlaku berkemungkinan memberi kesan kecil kepada jumlah jualan pada masa depan.
Baru-baru ini, MAA mendedahkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada Mac kepada 73,222 unit, melonjak 63 peratus bulan ke bulan atau 13 peratus tahun ke tahun.
Lonjakan ketara itu didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran oleh pengeluar disokong pesanan tertunggak yang kukuh.
Secara kumulatif, TIV tiga bulan pertama tahun ini melonjak 13 peratus kepada 159,752 unit.
“Kami mengekalkan saranan ‘OVERWEIGHT’ ke atas sektor automotif dan kekalkan unjuran TIV 2022 sebanyak 555,000 unit.
“AmInvestment Bank juga kekal positif dengan prospek sektor automotif memandangkan pendapatan syarikat berkaitan secara relatifnya terlindung daripada kesan konflik geopolitik kerana kebanyakan firma ini bergantung kepada permintaan domestik.
“Unjuran berhubung TIV tahun ini yang lebih kukuh berdasarkan normalisasi rantaian bekalan dan pemulihan beransur-ansur dalam keyakinan pengguna,” tambah Muhammad Afif.
BACA:
Misteri diberi nama ‘Selipar Jepun’ akhirnya terbongkar
Jualan air Syahmi Sazli cecah RM60k, siap kongsi amalan murah rezeki