Mungkin ramai yang mengenali isteri kepada penyanyi dan chef terkenal Fazley Yaakob sebagai anak kepada Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri.
Namun, hari ini Fazley mengumumkan bahawa beliau dan isterinya, Azrene Soraya, telah pun berpisah.
“Semoga dengan pengumuman ini, tiada lagi kekeliruan tentang hubungan kami berdua selepas ini,” kata Fazley seperti dipetik oleh Astro Awani.
Menurut Fazley, beliau telah memfailkan penceraian beberapa bulan lalu, dan tempoh edah telah pun berakhir beberapa minggu lepas.
Selepas berita ini tular, ramai netizen kembali mengimbas kisah hidup pasangan ini.
Fazley dan Azrene berkahwin pada tahun 2007, namun perkahwinan mereka dikatakan tidak mendapat restu daripada Rosmah, ibu kandung Azrene. Azrene merupakan anak Rosmah hasil perkahwinan terdahulu dengan Abdul Aziz Nong Chik.
Memetik laporan Mstar pada tahun 2018, Fazley pernah menyatakan bahawa beliau dan isterinya tidak pernah menyimpan perasaan buruk terhadap Rosmah. Malah, Fazley menganggap Rosmah seperti ibu kandungnya sendiri.
“Kami tidak pernah menyimpan sebarang perasaan benci. Sebagai anak dan menantu, beliau tetap ibu (mertua) dan ibu kandung kepada isteri saya. Selama 11 tahun kami berkahwin, kami sentiasa mendoakan agar hati beliau terbuka untuk menerima kami,” katanya ketika itu.
Selepas penceraian ini, keempat-empat anak mereka berada di bawah hak jagaan bersama. Hasil perkahwinan selama 18 tahun itu, pasangan ini dikurniakan empat anak, iaitu tiga anak lelaki: Ahmad Fariedz Shah (15 tahun), Ahmad Fieradz Shah (14 tahun), dan Ahmad Fierudz Shah (13 tahun); serta seorang anak perempuan, Alayna Selma, yang kini berusia 7 tahun.
Walaupun sudah berpisah, Fazley menegaskan bahawa hubungan dengan bekas isterinya kekal baik, seperti ketika mereka mula-mula berkenalan.
BACA: Bukan saja-saja taja, ini sebab kenapa 4 syarikat swasta taja PMX ke luar negara