Netizen bengang tempat awam kena bayar sewa meja RM20

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Pantai kini menjadi salah satu lokasi popular untuk “healing” bagi anak muda zaman sekarang.

Suasana tenang di pantai, ditambah dengan pemandangan matahari tenggelam (di beberapa pantai) menjadikannya tempat yang ideal untuk menenangkan diri.

Namun, ketenangan itu boleh terganggu jika kemudahan yang disediakan tidak memuaskan hati.

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok, @MurMur_travel_n_tour, telah berkongsi sebuah video yang menunjukkan gambar meja dan kerusi di Pantai Tanjung Aru,

Kota Kinabalu, Sabah, yang memaparkan harga yang perlu dibayar untuk duduk di situ.

Netizen bengang tempat awam kena bayar sewa meja RM20

Dalam video tersebut, harga untuk duduk di meja dan kerusi berbeza, iaitu RM15 dan RM20 mengikut saiz meja dan kerusi yang disediakan. Difahamkan bahawa kawasan tersebut adalah tempat yang cantik untuk melihat matahari terbenam.

“No komen. Nak tengok sunset kan? Kenalah berkorban sikit,” tulis pemilik video tersebut.

Kelihatan bahawa sebilangan pengunjung di pantai popular itu lebih memilih untuk duduk di lantai dan kawasan berpasir berbanding menggunakan meja dan kerusi yang disediakan.

Ramai yang terkejut melihat harga yang dikenakan dalam video tersebut, dan ada yang berpendapat harga tersebut tidak munasabah.

Bagaimanapun, ada juga yang mendakwa bahawa kawasan tersebut adalah tanah persendirian, jadi pemilik berhak mengenakan caj seperti itu.

Beberapa orang berkongsi pengalaman mereka yang pernah terkena caj ketika berkunjung ke pantai tersebut.

BACA: Dalam telur ayam ada telur lagi!