Seorang bekas gelandangan yang sebelum ini terlibat dalam jenayah, untuk memulakan kehidupan baharu
Dan lebih baik dengan memanfaatkan tenaga yang dimilikinya.
Berkongsi kisah hidupnya, Izuddin yang lebih dikenali sebagai Che Din berkata kehidupannya berubah sepenuhnya,
daripada tiada hala tuju dan merasa terpinggir kepada seorang pekebun yang mengusahakan ladang pertanian pintar bersama 13 rakan lain yang senasib.
“Apabila Ketua Projek, Ariff Hishamudin Hussin, memilih saya untuk dilatih menjadi petani IoT (Internet of Things),
saya terima dengan hati terbuka dan rasa terharu kerana masih ada yang sudi memberi peluang kedua dan kepercayaan kepada orang seperti saya.
“Saya tak sangka dapat peluang ini, dan saya anggap ia sebagai talian hayat buat saya,” ujar pemuda yang berasal dari Johor itu.
Che Din mula bekerja di ladang pintar tersebut sejak awal tahun ini dan mengikuti kursus selama tiga bulan untuk mendalami ilmu pertanian pintar, termasuk penanaman dan penjagaan sayuran berdaun serta cara menguruskan sistem IoT dalam bidang pertanian.
“Sudah beberapa kali hasil tanaman saya bersama rakan lain dituai. Saya rasa bangga dan puas hati kerana saya, yang dulunya gelandangan, kini mempunyai hasil dalam bidang pertanian,” katanya.
Dia bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh daripada pasukan Metrosfarm dan Jabatan Pertanian Daerah Sepang. Dia berharap rezeki menyebelahi dirinya agar dapat mengusahakan ladang sendiri suatu hari nanti demi menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.
“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik sebagai tanda penghargaan atas peluang ini. Bagi saya, ilmu lebih bernilai daripada wang kerana ilmu tak akan habis, malah makin bertambah, tetapi wang boleh habis,” katanya sambil menambah bahawa dia turut menerima elaun bulanan sebanyak RM300.
Menceritakan sejarah penubuhan Metrosfarm, Ariff Hishamudin berkata idea itu tercetus ketika program amal pengedaran pek makanan kepada gelandangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 2015.
“Saya terfikir, kenapa kita tidak beri mereka kemahiran agar mereka dapat mencari rezeki sendiri, bukan sekadar menerima bantuan untuk terus hidup. Mereka masih sihat dan boleh bekerja,” kata anak kelahiran Muar, Johor berusia 30 tahun itu.
Ariff, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Tun Abdul Razak, kini merealisasikan ideanya dengan membina rumah hijau seluas 0.2 hektar di Bandar Baru Salak Tinggi. Rumah hijau ini menempatkan 47 meja semaian yang mengandungi lebih 14,000 pasu kecil dengan sayuran seperti salad red coral, green coral, dan red oakleaf.
Ladang IoT ini, yang beroperasi hampir dua tahun, telah melatih 14 gelandangan, terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita berusia antara 40 hingga 50 tahun. Ladang tersebut berjaya memasarkan salad ke beberapa pasar raya di Lembah Klang dan mengeksport ke Singapura sejak Mei lalu.
“Satu meja mampu menuai antara 15 hingga 20 kilogram red coral dan red oakleaf, manakala green coral boleh menghasilkan sehingga 30 kilogram,” tambahnya. Harga jualan sekilogram bagi green coral dan red coral adalah antara RM5 hingga RM10, manakala red oakleaf berharga antara RM14 hingga RM16.
Bagi perancangan masa depan, Ariff dan pasukannya berhasrat membina rumah hijau berkonsepkan IoT untuk pesara kerajaan, dengan sasaran menghasilkan lima tan daun sup sebulan.
“Kami telah mengemukakan projek ini kepada KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) tahun lalu, dan kini menunggu maklum balas,” katanya, berharap kerajaan dapat membantu dari segi dana dan latihan demi memastikan keterjaminan makanan negara.
Sementara itu, pembangun IoT, Rano Paimin, 45, berkata rumah hijau tersebut dilengkapi sistem IoT yang dibangunkan sendiri, termasuk sistem saliran air dan baja, 16 kipas untuk pengudaraan, serta tangki air yang boleh dipantau dan dikawal melalui sistem tersebut.
“Kami gunakan aplikasi Telegram untuk menerima notifikasi jika terdapat kekurangan air atau baja.
Kami juga bercadang menambah baik dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memberikan maklumat ramalan cuaca dan mengawal sepenuhnya operasi rumah hijau ini,” jelas Rano, anak kelahiran Kuching, Sarawak.
BACA: Disoal mengenai suntikan typhoid, jawapan biadap peniaga bikin netizen bengang
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio