“Negeri mundur, beli Mercedes dan naik elaun Adun. Ada royalti pun belum tentu akan diguna sebaik mungkin” – Ibrahim Ali.
Presiden Putra Ibrahim Ali membidas PAS dengan menyifatkannya tidak kreatif dalam membangunkan Kelantan yang dikurniakan pelbagai hasil bumi dan budaya.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Kelantan dikurniakan hasil bumi seperti galian dan kayu-kayan ditambah tanah subur selain modal insan mahir serta rajin, persekitaran dan kebudayaan yang boleh diteroka.
“Tetapi negeri mundur. Ada duit, pandai beli Mercedes dan naik elaun wakil rakyat.
“Jika dapat royalti minyak pun, belum tentu akan diguna sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat,” katanya berucap merasmikan persidangan Putra Pasir Mas.
Ibrahim turut membidas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa masalah air di negeri Pantai Timur itu boleh diselesaikan jika parti pimpinannya memerintah.
Katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) harus sedar zaman mempersendakan rakyat sudah tamat, mengambil kira pelbagai janjinya sebelum ini yang belum ditunaikan.
“Tidak payah berjanji mengenai isu air, tunaikan isu royalti minyak kepunyaan dan hak rakyat dan kerajaan Kelantan.
“Mampukah TPM (timbalan perdana menteri) Zahid menasihati PM (perdana menteri) Anwar (Ibrahim) supaya melunaskan royalti minyak mengikut perjanjian,” katanya.
Pada persidangan itu, Ibrahim turut mengumumkan dirinya sebagai ketua Putra Pasir Mas yang membolehkannya kembali berkhidmat di kawasan pernah diwakilinya ketika bersama Umno pada 1992 hingga 2003.
BACA:
5 pemimpin Pas rupanya terbabit ‘kartel dedak’, menantu Hadi Awang buka mulut