Negara ini tiada ekonomi, tetapi hanya ada politik ekonomi – Nazir Razak

Negara ini tiada ekonomi, tetapi hanya ada politik ekonomi – Nazir Razak

Peranan besar kerajaan dalam ekonomi Malaysia, terutamanya penganugerahan lesen dan kuota sejak era pemerintahan British, dan pelaksanaan dasar tindakan afirmatif era 1970an sehingga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendominasi 40 peratus saham Bursa Malaysia, adalah sistem lapuk dan perlu diubah.

Bekas Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak dalam ruangan kolumnis di portal The Edge Markets, berkata, selain itu, amalan politik wang juga sering mempengaruhi keputusan berkaitan peraturan, polisi, dan perolehan kerajaan, serta tindakan-tindakan GLC.

Adik kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata, apabila beliau ditanya mengenai ekonomi Malaysia, sering kali beliau menyatakan di negara ini tiada ekonomi, tetapi hanya ada politik ekonomi.

“Sewaktu di peringkat siswazah dahulu, saya mengambil sarjana politik dan ekonomi secara serentak, tetapi saya ketika itu tidak pernah menyangka kedua-dua elemen ini terjalin begitu rapat (intertwined) dalam negara ini.

“Kita mempunyai rangkaian yang luas dalam arahan ekonomi, tetapi kita cuba meletakkan diri kita sebagai pasaran kapitalis bebas. Ia sangat merbahaya untuk anda berpura-pura menjadi sesuatu yang bukan diri anda yang sebenar,” katanya dalam ruangan bertajuk “Making a Better Malaysia”.

Nazir berkata, ia memerlukan pengalaman sebagai barisan hadapan, dan pada masa yang sama, mempunyai sedikit jarak, untuk benar-benar melihat betapa sistem yang sedia ada sudah terpesong, dan membawa kerosakan.

Ujarnya lagi, semasa beliau berada dalam sistem tersebut sepanjang kariernya dalam CIMB, beliau melihat dirinya mempunyai pegangan moral yang wajar, tetapi beliau akui ada kalanya dirinya rela menjadi pelakon.

Nazir berkata, jika beliau melihat sesuatu seperti ada yang tidak kena, ada masanya beliau akan menegur. Tetapi kebiasaannya beliau akan mengambil pendekatan “bukan urusan saya”.

“Kebanyakan kami yang berada dalam sistem tersebut biasanya bertindak begitu. Dan ketika saya berbicara dan menentang muslihat dalam 1MDB dan FELDA, tekanan yang diterima cukup tinggi.

“Saya tidak mahu menyentuh banyak mengenai perkara itu, tetapi memadai untuk saya katakan bahawa pemusatan kuasa di Pejabat Perdana Menteri mengakibatkan ketidakfungsian sistemik (systemic dysfunction) kerana kekurangan akauntabiliti serta elemen semak dan imbang ke atas pembuat keputusan,” katanya lagi.

Nazir berkata, antara simptom ketidakfungsian yang boleh beliau kongsikan ialah, skandal 1MDB yang beliau anggap satu contoh paling ekstrem.

“Sebuah dana kekayaan negara yang mendapat sokongan jelas dari kerajaan, dan digunakan khusus untuk meraih berbilion dollar untuk projek pembangunan dan pembiayaan politik. Dan sepanjang operasi dana itu, terjadi kebocoran dana yang amat besar untuk tujuan yang jahat.

“Skandal kewangan moden pertama adalah skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) pada awal 80-an di mana subsidiari Bank Bumiputra meminjamkan berbilion ringgit kepada sebuah pemaju hartanah di Hong Kong, tanpa kelulusan yang wajar,” katanya lagi.

Nazir berkata, terdapat juga perjanjian-perjanjian berskala kecil yang akhirnya, jika digabungkan, membawa nilai pembaziran yang cukup besar.

Selain itu, jelasnya lagi, pada pertengahan 80-an, terdapat model untuk melahirkan lebih ramai golongan ‘billionaire’ Bumiputera di bawah nama DEB, yang mana kerajaan akan mengikut pilihan ahli-ahli politik berpengaruh agar individu tertentu menjadi ahli-ahli perniagaan.

“Sokongan kerajaan termasuklah memberi pinjaman secara terus melalui bank-bank yang tidak dikawalselia. Model ini kemudian berkembang secara eksponen apabila dana modal asing masuk ke negara kita pada awal 90-an, dan akhirnya merudum teruk ekoran Krisis Kewangan Asia (AFC).

“Jadi kenapa kita fikir ahli politik membuat keputusan yang betul untuk melantik individu tertentu menjadi ahli perniagaan? Mengapa kita fikir mereka yang mempunyai hubungan rapat dan akses mudah terhadap modal, boleh membina perniagaan yang kukuh?” soalnya lagi.

Nazir berkata, kebanyakan perniagaan itu tenggelam dalam hutang yang menimbun, dan akhirnya diselamatkan kerajaan dan menjadi GLC pada hari ini.

Tegasnya lagi, hubungan antara kerajaan dan perniagaan utama berterusan walaupun selepas AFC, cuma bezanya individu pilihan ahli politik itu ditukar dengan golongan pengurusan profesional, tetapi masih melaporkan kepada ahli-ahli politik berkenaan.

Ujarnya lagi, sewaktu beliau menjadi pegawai CIMB, beliau telah ditugaskan untuk menjaga tawaran permulaan awam (IPO) untuk syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam pertukaran saham.

Katanya lagi, hampir kesemua kes melibatkan pembahagian saham kepada Bumiputera, seperti yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baharu (NEP), tetapi tidak pernah ada proses yang jelas mahupun konsisten terhadap pemilihan pihak yang bakal menerima saham-saham tersebut.

“Kelazimannya, mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik sahaja yang mudah menerima pembahagian saham-saham mewah tersebut.

“Jadi, di sebalik tujuan asal untuk membahagi kekayaan kepada golongan Bumiputera yang benar-benar memerlukan, kebanyakan dana ini dipesongkan demi kepentingan politik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nazir berkata, beliau tidak mengkritik sistem yang diwujudkan ekoran peristiwa tragedi 13 Mei, 1969, sebaliknya beliau menegaskan perlu ada perubahan ketara terhadap sistem tersebut.

“Kini sudah hampir 50 tahun, dan sistem yang diwujudkan pada era 70-an masih kekal, tetapi dipenuhi dengan kepentingan tertentu dan menggunakan bangsa dan agama untuk mempertahankan keputusan tertentu.

“Malah tindakan itu dicemari dengan norma sama ada bersifat kompromi atau terang-terangan bersifat korupsi,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penglibatan-berlebihan-kerajaan-dalam-ekonomi-perlu-diubah-nazir-razak-269443

COMMENTS