Nasihat buat ‘pengkagum’ Anwar Ibrahim yang wajar diteladani. Ramai pengkagum DS Anwar Ibrahim hari ini termasuklah dikalangan yang tidak bersetuju dengan beliau ketika pilihanraya atau yang masih lagi kekal menentang kerajaan Anwar Ibrahim hari ini tetapi tidak dapat berselindung dalam hati bahawa Anwar lebih baik daripada calon PM pilihan mereka. Raikan semuanya termasuk yang masih kekal menentang. Itu adalah hak.
Sama juga yang mengkagumi Jokowi dan Erdogan lewat 10 tahun dan 20 tahun lalu. Namun perlu diingat, Jokowi tidak muncul sebagai hero jika pengalaman peribadi dan platform yang beliau gunakan itu terus-menerus datang daripada dirinya semata-mata atau terjadi dengan sendiri. Reformasi institusi di Indonesia dimulakan BJ Habibie sejak pasca Reformasi Indonesia yang menjatuhkan Soharto 1998.
Habibie membebaskan demokrasi, memberi hak-hak kebebasan media, akademik dan hak asasi manusia serta hak hak provinsi. Namun pastinya ianya tidak lengkap. Ia disambung Gus Dur, Megawati dan paling lama Sosilo Bambang Yudiyano (SBY). Di era SBY barulah rakyat mendapat hak sepenuhnya untuk memilih Presiden berbanding sebelumnya dipilih oleh parlimen. Negeri-negeri atau provensi yang bergolak yang memperjuangkan kemerdekaan wilayah masing masing seperti Acheh, Papua, Ambon dan lain-lain semakin mengendur atau sebahagian besarnya sudah melupakan hasrat untuk merdeka dari Indonesia.
Setelah 16 tahun reformasi Indonesia digagaskan, Indonesia berubah dan ketika itulah munculnya Joko Widodo atau Jokowi. Berbekalkan pengalaman peribadi yang berpendidikan tetapi dekat di hati rakyat bawahan, dicampur dengan platform atau sistem bernegara yang semakin kukuh hasil perkembangan Indonesia pasca reformasi 1998, maka Jokowi menjadi tokoh baru buat kali pertamanya bukan dikalangan bangsawan atau jeneral tentera memimpin Indonesia dengan nama dikagumi.
Begitu juga Anwar Ibrahim. Kagum terhadap ucapan dan tindakan beliau, tidak hanya kerana kuat membaca semata-mata boleh menjadi Anwar. Tetapi pengalaman peribadi selama 24 tahun sebagai pembangkang setelah berada di kemuncak kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri perlu diambil kira. Tidak sama orang yang sejak asal menjadi pembangkang berbanding yang asalnya berada di kemuncak kuasa, kemudiannya menjadi pembangkang.
Dicampur dengan tempoh 11 tahun dalam penjara, boleh jadi itulah ramuan yang menyebabkan Anwar lebih faham dalam memaknakan setiap bait bait yang beliau tekuni dalam pembacaan beliau, lalu diterjemahkan dalam ucapan dan tindakan. Namun Anwar tidak sempurna jika bersendirian. Jika dipenggal pertama dan kedua Erdogan yang gilang gemilang apabila berjaya mengubah ekonomi rakyat dan negara sebanyak 3 kali ganda lebih baik berbanding sebelumnya, dikeliling Erdogan adanya Abdullah Gul, Ali Babacan dan Ahmet Davutoglu dan lain lain tokoh ekonomi, pendidikan, birokrat bertaraf dunia yang membantu pentadbiran beliau.
Davutoglu melalui polisi ‘Zero Problem’ berjaya memulihkan hubungan Turki dengan semua negara jirannya setelah lebih 7 dekad Turki bermusuh dengan hampir kesemua jiran tetangganya. Ali Babacan berjaya membawa Turki daripada ‘the sick state’ in Europe kepada menyertai ‘Club of Trillion’ negara negara Eropah dengan kedudukan GDP di tangga kelima Eropah. Ini sebahagian cerita kejayaan.
Samada yang mengkagumi Anwar atau mengharap suatu perubahan besar dilakukan Anwar, ianya bukan laluan yang mudah jika tidak berbekal pembacaan yang meluas dan pengalaman yang mendalam menjiwai rakyat dan memahami sistem pentadbiran negara. Apatah lagi membiarkan Anwar bersendirian membawa halatuju beliau tidak memungkinkan perubahan yang cemerlang akan berlaku.
‘Anwar perlu dibantu, bukan diampu.’
Sama-samalah kita doakan buat Malaysia dan dunia amnya semakin baik di masa hadapan. Allahumma Amin.
BACA:
UiTM buka jawatan kosong, gaji sehingga RM 5,753
Remaja nekad keluar rumah 4 pagi jual kuih lepas ayah dibuang kerja