Nasib Peja sebagai MB Perak kini ditangan Umno

Nasib Peja sebagai MB Perak kini ditangan Umno

Sikap UMNO boleh menentukan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional di Perak, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

Hisomuddin menjelaskan sikap UMNO Pusat yang tidak konsisten terhadap kerjasama yang membentuk PN boleh menentukan kedudukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Jelas beliau, usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang akan dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manaf Hashim pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bergantung sejauh mana sokongan UMNO terhadap PN.

“Usul percaya ini bergantung kepada sikap UMNO terhadap Perikatan Nasional, sekiranya mereka masih mahu bersama gabungan ini maka usul undi percaya ini akan mendapat sokongan majoriti ADUN UMNO Perak.

“Maksudnya Menteri Besar mendapat sokongan penuh dari ADUN-ADUN UMNO dan PN yang lain, tidak hilang jawatan dan kerajaan.

“Kalau kita lihat di peringkat Pusat, UMNO tidak konsisten terhadap PN, sekejap macam sokong dan ada ketikanya kenyataan yang dibuat seolah-olah sudah tidak boleh bersama.

“Jadi usul percaya ini bergantung kepada sikap UMNO Pusat sama ada merestui sekiranya UMNO Perak mahu bertindak terhadap PN,” katanya kepada Astro AWANI.

Hisomuddin juga menjelaskan, sekiranya wakil rakyat UMNO di Perak memilih untuk tidak menyokong usul undi percaya itu ia akan memberi kesan terhadap kerjasama parti itu diperingkat pusat.

“Kalau UMNO tidak sokong Peja (Ahmaf Faizal) bermakna PN di Perak tumbang dan akan ada masalah antara UMNO dan PN di peringkat Pusat juga,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Speaker Dun Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memberitahu media bahawa terdapat satu usul percaya terhadap Ahmad Faizal akan dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu dari UMNO.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/sikap-umno-tentukan-nasib-pn-di-perak-penganalisis-271232

COMMENTS