‘Nampak tua, macam aplikasi tahun 1997’ Laman web MyDigital ID dikecam netizen

Oleh SURIANI HAMDAN

Kecoh baru-baru ini apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan mengejut bahawa mulai 10 Oktober nanti,

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar aplikasi MyDigital ID tidak boleh lagi mengakses aplikasi MyJPJ, lapor BFM.

JPJ mengumumkan bahawa semua pengguna kini wajib mempunyai MyDigital ID sebagai kaedah log masuk, selaras dengan usaha kerajaan ke arah digitalisasi.

Aplikasi MyJPJ adalah penting untuk rakyat Malaysia kerana ia memudahkan pengguna untuk mengakses lesen memandu, cukai jalan, dan pelbagai perkhidmatan lain secara digital.

Bagi mengelakkan sebarang masalah log masuk, JPJ menggesa semua pengguna untuk segera mendaftar melalui aplikasi MyJPJ atau MyDigital ID.

'Nampak tua, macam aplikasi tahun 1997' Laman web MyDigital ID dikecam netizen

Namun, pengumuman mengejut ini kurang mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia. Kebanyakan mereka mengecam langkah ini yang dilihat seolah-olah sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan aplikasi MyDigital ID.

“Ini cara mereka memaksa semua orang untuk menggunakan aplikasi ini. Risau nanti akan jadi seperti MySejahtera,” kata seorang netizen.

Ada juga netizen yang mengeluh bahawa masa yang diberikan untuk mendaftar aplikasi ini terlalu singkat dan sepatutnya MyJPJ memberikan lebih banyak masa, bukan hanya sehingga 10 Oktober ini.

“Kalau ye pun, pastikanlah aplikasi itu lancar. Nak daftar pun sudah banyak hal lagging. Lagipun, bagi masa 10 hari je, sepatutnya beri sebulan. Tidak semua orang mahir teknologi. Come on lah,” kata seorang netizen.

Sebahagian netizen mendakwa antara muka (interface) aplikasi MyDigital ID kelihatan ketinggalan zaman, seolah-olah dibuat pada tahun 90-an.

“Putus asa cuba untuk mendaftar @mydigital_ID pagi tadi, dan halamannya nampak seperti tahun 1997, tidak terkejut,” kata seorang netizen.

Seorang netizen lain turut mengalami masalah yang sama, “Sila baiki halaman pertama ini dahulu, nampak tua,” katanya.

Melalui pemerhatian The Vocket, halaman pertama yang didakwa kelihatan seperti 1997 itu sudah pun pulih seperti sedia kala. Namun, cubaan kami untuk mendaftar memerlukan tahap kesabaran yang tinggi selepas beberapa kali gagal dan diminta untuk memulakan semula proses pendaftaran.

Untuk rekod, MyDigital ID adalah satu sistem pengenalan digital yang diwujudkan untuk menyelaraskan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

Dengan satu akaun MyDigital ID, pengguna dapat mengakses pelbagai aplikasi kerajaan, termasuk MyJPJ, dengan lebih mudah dan selamat.

Ini adalah langkah penting dalam usaha Malaysia menuju ke arah pendigitalan sepenuhnya.

Pendaftaran MyDigital ID boleh dilakukan dengan dua cara – sama ada melalui aplikasi mudah alih MyDigital ID atau dengan mengunjungi kiosk fizikal yang terdapat di seluruh negara.

Dengan cara ini, JPJ berharap dapat memastikan semua rakyat Malaysia dapat menggunakan aplikasi MyJPJ tanpa masalah.

BACA: Tak tahan kos sara hidup di Korea Selatan, pelarian nekad balik Korea Utara