Setiap orang pasti mengimpikan sebuah tempat tinggal yang selesa. Tempat yang melindungi kita dari terik matahari dan hujan, lebih-lebih lagi apabila sudah berkeluarga.
Dengan adanya kediaman yang selesa, selamat, dan dilengkapi pelbagai fasiliti, kita tentu akan lebih tenang untuk membesarkan anak-anak.
Anggota tentera kita juga mempunyai impian yang sama, iaitu untuk memiliki sebuah rumah yang selesa untuk keluarga mereka,
terutama ketika mereka menjalankan tugas di medan perang.
Oleh itu, tidak menghairankanlah apabila kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membelanjakan RM400 juta
untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.
Peruntukan ini digunakan untuk menyelenggara RKAT di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara. Salah satu RKAT yang sedang diselenggara secara berfasa adalah RKAT Kem KEMENTAH di Kuala Lumpur.
Anggota Tentera Bersyukur dengan Kediaman Baru
Bagi anggota tentera yang terlibat dalam pemindahan ini, mereka amat bersyukur dan merasakan perubahan ketara dari segi keselesaan, keselamatan, dan fasiliti yang disediakan.
Koperal Fedly Abd Ghani, yang telah menetap di Blok B6 sejak 2017, mengakui keadaan RKAT sebelum ini agak tidak selesa untuk keluarganya. Kini, beliau gembira berpindah ke blok baru yang telah diselenggara dengan baik.
Menurut Koperal Fedly, banyak perbezaan yang dapat dirasakan, terutama dari segi keselamatan. “Alhamdulillah, rumah sekarang ada grill pada bahagian balkoni. Jadi, pintu cermin di depan ini sudah boleh dibuka,” katanya.
Dulu, beliau dan isterinya sering bimbang tentang keselamatan anak-anak ketika bermain di ruang tamu kerana balkoni rumah lama tidak ada grill.
Fasiliti-Fasiliti yang Ditingkatkan
Puan Hayati, seorang suri rumah sepenuh masa, mengalami kesukaran ketika menguruskan rumah tangga akibat masalah paip yang sering tersumbat di rumah lama.
Di rumah baru, masalah tersebut telah diatasi kerana semua kemudahan telah diperbaiki. Selain itu, fasiliti di rumah baru juga jauh lebih baik, dengan tambahan kipas dan lampu yang lebih terang.
Bagi Koperal Khairul Aswad Nahadi dari Rejimen 515 Askar Wataniah dan isterinya, Koperal Noor Syahnahezma Juhari dari Wisma Transit Kuala Lumpur, rumah baru mereka lebih sesuai dan selesa.
“Dulu, tekanan air sangat perlahan, terutama jika digunakan serentak di dapur dan bilik air.
Sekarang, masalah itu sudah selesai,” kata Khairul Aswad. Noor Syahnahezma pula mengakui bahawa perabot di rumah baru seperti almari adalah lebih baik dan berkualiti.
Kebajikan Anggota Tentera Terjaga
Koperal Mohd Kamarul Anwar Kamarulzaman dari Wisma Perwira ATM dan Koperal Nuraini Mohd Rasul (Katering Tentera Darat) juga sangat berterima kasih kepada MINDEF dan ATM kerana menyediakan kediaman yang selesa untuk mereka.
Menurut Koperal Mohd Kamarul, penyelenggaraan ini memberikan kelegaan kepada keluarga tentera dan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih tenang.
Ini membuktikan bahawa MINDEF dan ATM benar-benar menitikberatkan kebajikan anggota tentera yang banyak berkorban untuk menjaga keamanan negara.
Semoga perancangan MINDEF dan ATM di masa hadapan dapat dilaksanakan dengan baik untuk kepentingan semua pihak
BACA: ‘Ingatkan sultan betul, rupanya Aisar Khaled’ Pempengaruh jadi kegilaan rakyat Indonesia