Nampak comel, buat ramai tertanya kucing baka apa, tapi ramai tak tahu kucing ini baka paling bahaya

Oleh FAHMI ABBAS

Kucing merupakan pilihan utama sebagai haiwan peliharaan di kalangan rakyat Malaysia,

kerana sifatnya yang comel dan manja mampu menawan hati sesiapa yang melihatnya.

Namun, kejutan mungkin menanti kerana terdapat satu spesies kucing yang mempunyai rekod yang mengagumkan di sebalik saiz dan wajahnya yang comel.

Nampak comel, buat ramai tertanya kucing baka apa, tapi ramai tak tahu kucing ini baka paling bahaya

Kucing kecil ini biasanya ditemui di kawasan padang pasir di Afrika Selatan. Selain memiliki wajah dan bulu yang comel, kucing ini juga termasuk dalam kategori kucing terkecil di dunia.

Dengan saiz hanya antara 14 hingga 20 inci dan ketinggian kira-kira lapan inci, fizikal kucing ini sedikit berbeza dengan kucing-kucing domestik yang biasa.

Namun, kucing berkaki hitam atau Black-footed cat (Felis nigripes) sebenarnya diiktiraf sebagai kucing yang paling mematikan atau berbahaya. Menurut siri PBS Nature “Super Cats”, kucing berkaki hitam mempunyai rekod memburu mangsa lebih banyak dalam satu malam berbanding harimau bintang.

Si kucing comel ini melakukan percubaan memburu kira-kira sekali setiap 30 minit. Secara keseluruhan, haiwan ini mampu menangkap antara 10 hingga 14 mangsa dalam satu malam.

Antara mangsa kegemaran kucing ini termasuk tikus, burung kecil, dan serangga. Walau bagaimanapun, terdapat rekod bahawa kucing ini pernah memburu mangsa seperti arnab Cape yang lebih besar daripada saiz badannya.

Menurut IFLScience, kucing ini dikatakan akan mengembara sehingga lapan kilometer setiap malam untuk mencari mangsa.

Oleh itu, tidaklah menghairankan kucing ini mempunyai rekod kejayaan memburu sehingga 60 peratus, yang jauh lebih tinggi daripada rekod kucing lain.

Kehidupan sendirian dan kecenderungan untuk bersembunyi di dalam lubang bawah tanah adalah sifat-sifat yang dikenali dalam spesies kucing berkaki hitam ini. Berbeza dengan kebanyakan keluarga kucing, kucing ini lebih suka hidup menyendiri.

Namun demikian, berdasarkan Persatuan Antarabangsa bagi Kucing Terancam, kucing berkaki hitam telah disenaraikan sebagai haiwan terancam. Penyenaraian ini telah dibuat oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

Populasi kucing berkaki hitam kini dianggarkan tidak lebih daripada 10,000 ekor, dan jumlah ini semakin berkurangan setiap tahun. Oleh itu, spesies kucing ini kini dilindungi oleh undang-undang negara dan pemburuan terhadapnya telah diharamkan di Botswana dan Afrika Selatan.

Walaupun usaha pemuliharaan telah dilakukan, sifat bebas kucing ini di alam liar membuatkan proses pemuliharaan menjadi mencabar. Kucing berkaki hitam mencatatkan kadar kematian yang tinggi ketika berada dalam kurungan berbanding ketika hidup di alam liar.

BACA: Kenapa duit Malaysia digelar ‘Ringgit’? Ini sejarah yang ramai tak tahu