Nama syarikat terlibat kartel daging tidak boleh didedahkan sekarang – Timb Menteri

Nama syarikat terlibat kartel daging tidak boleh didedahkan sekarang – Timb Menteri

Nama sebuah syarikat tempatan yang disyaki terlibat kartel daging haram akan didedahkan selepas proses pendakwaan minggu depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini nama beserta jenama produk daripada syarikat terbabit tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Saya difahamkan kes melibatkan sebuah syarikat akan dibawa untuk proses pendakwaan di mahkamah minggu depan.

“Setakat ini kita tidak boleh dedahkan lagi kerana ia masih dalam siasatan dan akan didedahkan selepas kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Menerong, Ajil, di sini, hari ini.

Rosol (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir ketika lawatan ke PPS Kg Menerong, Ajil di Hulu Terengganu, hari ini.
Terdahulu, sebuah syarikat tempatan yang dipercayai terlibat dengan kartel daging haram ditukar menjadi halal bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115518/BERITA/Nasional/Nama-syarikat-terlibat-kartel-daging-haram-didedah-selepas-pendakwaan