Najib dah ke dalam, mesyuarat tergempar Umno bersidang. Biro Politik UMNO akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat, kata Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebook susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan UMNO akan bertindak rasional dan terus akur dengan kehendak keputusan parti.
“Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat. Tiada pengkhianatan sesama kita! Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar!
“Bak kata ungkapan (Sasterawam Negara, Datuk Dr) Usman Awang, di belakang duri di depan api, kita tak bisa undur lagi. Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi. Kebulatan ikrar tak akan berubah.
“Maka ayuh kita bangkit mengharungi onak dan duri, api perjuangan kita terus semarakkan. Marilah kita bangkit bersatu hati dan tenaga agar perjuangan Datuk Seri Najib terus menyala-nyala,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, apabila mahkamah mengekalkan keputusan sabitan ke atas Najib, ia menjadi detik duka kepada UMNO.
Beliau bagaimanapun menegaskan, semangat Najib tidak akan pudar dan perjuangan UMNO tetap segar.
“Kami berada di luar dan dalam mahkamah tadi turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa.
“Semoga Datuk Seri Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan ini. Sebagai pejuang tulen tidak mudah beliau patah semangat dan berjuang terus berjuang.
“Kami percaya ada malam yang gelap pasti akan ada siang yang cerah. Masa akan menentukan segalanya. Buat Datuk Seri Najib Razak dan ahli UMNO sekalian ingatlah ayat 40 surah al-Taubah, Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita,” katanya.
Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Baca Juga :
Rupanya pengkid viral ni guna nama ‘Tengku’, last kantoi dengan bekas kekasih tipu jantina
SU Agung FAM undur diri, ‘apa dah jadi?’
Tular video gadis seksi buat aksi ghairah semasa sambutan patriotik