Najib akur keputusan parti jika dipecat

Najib akur keputusan parti jika dipecat

Bekas perdana menteri Najib Razak yang didapati bersalah menyalah guna kuasa dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd akan akur apa juga keputusan parti terhadapnya.

“Saya akan patuh pada keputusan parti dan saya orang parti.

“Saya akan patuh,” katanya dalam sidang media di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa satu “keputusan politik besar” akan dibuat susulan keputusan kes mahkamahnya hari ini.

Dalam keputusan hari ini, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi 7 pertuduhan jenayah membabitkan SRC International – 10 tahun penjara bagi tiga kesalahan untuk kes pecah amanah, dan 10 tahun penjara bagi tiga kesalahan pengubahan wang haram, dan 12 tahun bagi satu kesalahan salah guna kuasa.

Hukuman itu akan dijalankan serentak, yang menjadikan tempoh sebenar hukuman penjara ialah 12 tahun. Najib juga didenda RM210 juta.

Ditanya pemberita apakah dia rasa dianiaya dengan hukuman berkenaan, Najib berkata: “Tak, sebab ini bukan the end of the world (penghujung dunia).

“Sebab ada proses rayuan dan harapnya berjaya di (peringkat) itu, usaha mesti diteruskan.

“Untuk penyokong-penyokong saya, saya harap anda menaruh kepercayaan kepada saya dan takkan tinggalkan saya,” katanya lagi.

Selepas sidang media, Najib berjalan ke pagar mahkamah untuk bertemu sejumlah penyokongnya yang masih setia menanti sejak pagi.

Mereka melaungkan ungkapan “hidup bossku” dan “lawan tetap lawan”.

Hanya setelah bertemu penyokongnya, barulah Najib menuju ke keretanya sebelum beredar meninggalkan mahkamah.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/536492

COMMENTS