Musa Aman TYT jika BN kembali berkuasa di Sabah?

Musa Aman TYT jika BN kembali berkuasa di Sabah?

BELIAU ibarat legasi dalam politik Sabah. Bergelar Ketua Menteri Sabah paling lama di puncak kuasa sejak 2003 hingga 2018, Tan Sri Musa Aman bukanlah calang-calang ahli politik.

Namun tenggelamnya kapal besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, ombaknya turut membadai politik Negeri Di Bawah Bayu.

Musa disingkirkan daripada mengetuai pemerintahan Sabah menerusi satu plot peralihan kuasa yang sangat dramatik. Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan UPKO paling awal angkat kaki menyertai Warisan.

Walaupun sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Musa hilang majoriti dua hari kemudian menyebabkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akhirnya mengambil alih kuasa sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Selepas itu, hampir dua tahun kerjaya politik Musa ‘tergendala’ dek kes rasuah yang mengheretnya ke mahkamah selain isu kesihatan.

Namun, sebaik dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Jun lalu, Musa ibarat harimau luka yang terlepas dari kandang. Khabar angin mengenai amukan Musa yang bakal menjatuhkan Shafie sudah kedengaran sejak itu.

Dan ramalan itu benar, apabila Musa hanya memerlukan sekitar satu bulan untuk merealisasikan cita-citanya. Tanpa ramai yang menduga, tiba-tiba 33 ADUN Sabah dengan 15 daripadanya adalah ADUN dari Warisan, DAP dan PKR berada di belakang Musa.

Bagaimana Musa melakukan gerakan magis itu, hanya Musa dan pasukannya mengetahuinya walaupun ada yang mendakwa ada ADUN ditawarkan dengan wang jutaan ringgit.

Namun yang pasti, drama politik Sabah sejak hujung Julai lalu memasuki episod baharu dengan Musa dan Shafie berlumba-lumba mahu mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Namun, akhirnya Tun Juhar memperkenankan nasihat Shafie untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Ketika ramai yang melihat Pilihan Raya (PRN) Sabah kali ke-16 adalah penentu hidup mati antara Musa dan Shafie, rupa-rupanya ramai yang tersilap.

Musa tersingikir daripada PRN apabila tidak dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan beliau juga kelmarin tidak memunculkan diri menjadi calon mana-mana parti atau pun calon Bebas.

Tun Juhar merupakan TYT Sabah yang ke-10 sebelum dilantik sejak tahun 2011.
Tun Juhar merupakan TYT Sabah yang ke-10 sebelum dilantik sejak tahun 2011.
Bagi penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, politik personaliti adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan di Sabah.

Katanya, lantaran itulah ramai ahli politik veteran turut sama dalam PRN Sabah kali ini.

“Antara personaliti yang kuat termasuklah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Tan Sri Chong Kah Kiat, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Datuk Seri Anifah aman dan Datuk Jeffrey Kitingan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Namun bagi Sivamurugan, walaupun Musa tercicir daripada senarai calon BN Sabah dan beliau sendiri tidak muncul pada penamaan calon kelmarin, namun itu tidak bermakna Musa sudah tidak lagi relevan dalam politik Sabah.

“Personaliti dan pengaruh Musa di Sabah sebenarnya sudah seperti Tun Abdul Taib Mahmud semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak.

“Bagaimanapun mungkin atas sebab tertentu seperti kes di mahkamah sebelum ini dan demi angin pembaharuan Musa tidak dicalonkan BN.

“Namun, saya rasa mungkin ada perbincangan antara BN dan Musa serta penyokong Musa sendiri bagi mengelakkan sabotaj. Malah sehingga kini, kalau kita lihat Musa masih setia bersama UMNO dan mesej-mesej di laman sosialnya lebih menyeru kepada rakyat Sabah mengundi dengan selamat,” kata Sivamurugan yang sempat berkampung selama empat hari di Sabah.

Ketika ditanya lanjut apakah khabar angin politik paling kuat berkenaan Musa di Negeri Di Bawah Bayu ketika ini, akui pensyarah politik tersebut, tentang kemungkinan Musa diangkat Tuan Yang di-Pertua Sabah (TYT) yang baharu.

“Sama ada mengikut Perlembagaan Sabah perkara itu dibolehkan atau tidak itu, kena lihat semula. Tapi berdasarkan perbualan saya dengan orang politik di sini (Sabah), ia dibolehkan. Ini kerana pelantikan TYT Sabah kini tiada had tempoh masa. Ia boleh dicadangkan kerajaan negeri kepada pusat dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong,” kongsi pensyarah Universiti Sains Malaysia itu.

Berdasarkan rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember 2018 meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan TYT Sabah selama dua penggal sahaja.

Pindaan tersebut turut membolehkan Tun Juhar Mahiruddin kekal sebagai TYT Sabah bagi penggal ketiga pada Januari 2019 lalu. Beliau memegang jawatan tersebut sejak 2001 dengan tempoh sepenggal ialah selama empat tahun.

Sementara itu menurut pakar perlembagaan Malaysia, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz, persoalan mengenai pertukaran TYT Sabah perlu dilihat daripada dua peruntukan undang-undang iaitu Perlembagaan Negeri Sabah dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, jika ditanya sama ada seseorang TYT Sabah boleh ditukar atau tidak, kata Shamrahayu jawapannya adalah boleh tetapi dengan syarat.

“Ini kerana berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah Perkara 1 Bahagian 1, TYT hendaklah dilantik dalam tempoh empat tahun, tetapi TYT boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan.

“TYT juga pada bila-bila masa boleh dipecat jawatan itu oleh Yang di-Pertuan Agong dengan syarat DUN Sabah mempunyai 2/3 majoriti.

“Ketua Menteri perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembahkan undi majoriti 2/3 DUN Sabah itu,” jelas Shamrahayu yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, walaupun beberapa ahli politik Sabah mengambil pendirian mengunci mulut mengenai kemungkinan Musa dilantik TYT Sabah, namun ramai yang mengakui beliau bukanlah calang-calang pemimpin.

Bagi penyandang DUN Lumadan selama dua penggal sebelum ini, Datuk Kamarlin Ombi, rakyat Sabah sememangnya akan tetap mengingati beliau sebagai pemimpin yang telah membawa pembangunan di Sabah.

“Selama lebih 15 tahun beliau menjadi Ketua Menteri, Musa telah melakukan yang terbaik. Itu bukan persoalan lagi malah, turut disuara adik beliau sendiri Datuk Seri Anifah Aman.

“Namun sekarang adalah masa untuk orang lain pula memberi sesuatu yang terbaik. Saya rasa Musa pun memahami ketidak beradaan nama beliau dalam pilihan raya kali ini. Dua kali ke mahkamah untuk mencabar isu pembubaran DUN dan kalah kedua-dua, sudah tentunya dia melihat personalitinya sendiri tercalar kerana yang menghukum itu mahkamah,” katanya yang yakin BN masih parti dominan walaupun tanpa kelibat Musa.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/100999/ANALISIS-SEMASA/Gosip-Musa-Aman-ganti-Tun-Juhar

COMMENTS