Sebelum ini, tular mengenai sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia yang menerima kecaman ramai selepas parkir sesuka hati di Hatyai, Thailand.
Terbaru, insiden di Thepha, Thailand telah membangkitkan kemarahan penduduk tempatan apabila
sebuah kenderaan yang dipercayai milik rakyat Malaysia dirakam parkir secara serong, sehingga mengambil tiga ruang parkir sekaligus.
Gambar yang dikongsi oleh seorang netizen Thailand, รอฟีอ๊ะ หมัดโส๊ะ, di Facebook turut disertakan dengan kapsyen sinis,
“Ini kes lain. Orang Thailand semua dialu-alukan ke lot parkir Malaysia di Thailand. Kepada jiran kita, tolong hormati dan patuhi peraturan negara kami.”
Catatan di Facebook tersebut menarik perhatian pengguna media sosial, termasuk rakyat Malaysia yang merasa malu dengan tingkah laku tidak bertanggungjawab sesetengah pemandu negara ini.
Ramai yang tampil di ruangan komen untuk memohon maaf dan menyelar tindakan pemandu terbabit.
Antara komen sinis yang mencuri perhatian termasuk, “Maafkan mereka, mereka tinggalkan otak di sempadan,” dan “Malu betul, memalukan nama Malaysia.”
Sama ada di dalam atau luar negara, tindakan parkir sesuka hati jelas melanggar peraturan jalan raya dan memberi kesan negatif kepada pengguna jalan raya lain.
Malah, tabiat ini tidak hanya mencerminkan sikap pemandu terbabit, tetapi juga mencemarkan imej negara di mata masyarakat antarabangsa.
BACA: Pemimpin Pas akhirnya keluar ‘gua’, beri reaksi kegagalan PRK Mahkota