Mulai 1 Julai, harga ayam dijangka naik kepada RM15 sekilogram

Oleh MHDAILY

Mulai 1 Julai, harga ayam dijangka naik kepada RM15 sekilogram. Harga ayam segar dijangka mampu naik mencapai RM15 sekilogram (kg) paras tertinggi pernah direkodkan mulai Julai ini, selepas skim harga maksimum runcit bahan mentah itu tamat akhir bulan ini.

Peniaga ayam, Hafizul Mohamad, 40, berkata pembekal ayam memaklumkan kos bahan mentah itu kini sedang diteliti semula selepas kerajaan tidak lagi memberikan subsidi kepada penternak mulai Julai nanti.

Katanya, ketika ini peniaga terpaksa menjual ayam segar pada harga RM12 kg berikutan terbeban dengan kenaikan berterusan kos pengangkutan, walaupun skim harga maksimum ayam RM8.90 sekilogram masih dikuatkuasakan.

Beliau berkata, sebelum ini peniaga terpaksa menanggung kos pengangkutan ayam segar bagi setiap kg bermula dengan 50 sen sebelum ia mengalami kenaikan sehingga RM1.50 serta RM1.80 dan terbaharu dinaikkan kepada RM2.20 untuk setiap kg bahan mentah itu.

“Jika ikut makluman awal pembekal dan trend kenaikan kos pengangkutan, apabila skim maksimum harga ayam tamat akhir bulan ini, harga ayam segar dijangka mampu melonjak kepada RM15 bagi sekilogram bermula 1 Julai ini.

“Apatah lagi pembekal ketika ini masih belum berupaya memenuhi permintaan ayam segar yang diminta peniaga sekali gus masih gagal memenuhi permintaan pasaran.

“Ketika ini harga ayam sampai pada peniaga pun sudah RM9.80/kg, bagaimana kami peniaga nak jual ikut harga kawalan maksimum RM8.90/kg.

Mulai 1 Julai, harga ayam dijangka naik kepada RM15 sekilogram

“Dengan faktor penamatan harga siling akhir bulan ini, bekalan ayam yang masih belum stabil dan permintaan ayam kembali melonjak awal Julai ini susulan Raya Haji, dijangkakan harga ayam segar akan mencapai paras tertinggi awal bulan depan,” katanya ketika dihubungi BH.

Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam bagi Semenanjung Malaysia untuk ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Sebelum ini, dilaporkan penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai ini, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam.

Dalam pada itu, Hafizul berkata, isu bekalan ayam segar yang berkurangan masih belum selesai sepenuhnya walaupun eksport ayam ke Singapura dilaksanakan sejak awal bulan lalu.

“Saya dan peniaga lain pun tidak tahu kenapa isu bekalan ayam berkurangan masih belum dapat diatasi.

“Contohnya saya buat tempahan sebanyak 450 ekor ayam segar sehari namun hanya dapat 200 ekor sehari. Ia menyebabkan stok ayam segar tidak dapat dibekalkan sepenuhnya kepada pelanggan yang buat pajakan harian terutama peniaga kedai makan dan katering.

“Apabila tanya pada pembekal bila bekalan ayam segar akan pulih, mereka pun tidak dapat beri jawapan pasti dengan memberi alasan kekurangan pekerja di ladang menyebabkan pengeluaran ayam tidak dapat ditingkatkan sehingga terpaksa mencatu bekalan kepada peniaga,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, kerajaan dilaporkan mengarahkan eksport sebanyak 3.6 juta ayam sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini, sebagai sebahagian daripada lima pendekatan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.

BACA:

Kenapa harga Perodua Kembara 4×4 lama makin tinggi?

Safee Sali jadi pemain golf pula, pukul sekali terus menang Mazda CX5

Leave a Comment