Muhyiddin dah sabotaj PM, dedah Zahid. Tindakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di media sosial bukan sahaja membuktikan ketidakstabilan, malah berbaur sabotaj terhadap kerajaan campuran Keluarga Malaysia.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu seharusnya sedar kenyataan negatifnya akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia.
Tegasnya, bagaimana pelabur asing boleh meyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila Muhyiddin menyatakan perkara buruk mengenai kerajaannya sendiri.
“Pengerusi PN (Perikatan Nasional) seharusnya ‘cermin diri’ apabila menggambarkan Perdana Menteri sedia ada sebagai gagal, sedangkan negara berdepan kegagalan teruk ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada waktu itu.
“Seramai 10,317 individu diisytihar muflis mulai Mac 2020 dan 37,415 perniagaan ‘gulung tikar’ kerana terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum ini secara terbuka membidas kepemimpinan Ismail Sabri, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.
Beliau berkata, setiap kali MPN bermesyuarat, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun setakat ini masih belum ada penyelesaian komprehensif terhadap semua isu itu.
Ahmad Zahid berkata, ketidakstabilan yang dibuktikan dengan serangan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.
Katanya, ketidakstabilan itu juga memperjudikan nasib serta masa depan rakyat dan negara berikutan tiada kebersamaan dalam kalangan pembuat dasar.
“Pentadbiran kerajaan yang saling tuduh-menuduh memberi gambaran negatif kepada pelabur, sekali gus menyukarkan usaha negara bangkit daripada kemusnahan pandemik.
“Justeru, rakyat seharusnya boleh menilai mengenai kebenaran yang dibangkitkan UMNO berhubung ketidakstabilan yang wajib dipulihkan,” katanya.
Selain, beliau berkata, Malaysia juga tidak boleh meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan negara kerana kerosakan ekonomi sudah bermula seawal mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Ironinya, Pengerusi MPN merangkap Pengerusi PN juga sebahagian anggota kabinet kerajaan PH ketika itu.
“Apakah individu yang pernah gagal berkali-kali layak menuduh individu lain sebagai gagal juga?,” soalnya.
BACA:
Caprice bertegas tak nak minta maaf dengan SM Faisal, bakal berdepan di court
Sambal nyet selalu tumpah sebab tak ada kotak, Khairul Aming tampil jawab
Penduduk di Rembau ‘ketakutan’, lagu Maya Karin hantui sepanjang malam