Mufti Perlis turut pertikai kuarantin menteri 3 hari, apa beza tubuh mereka dengan rakyat biasa?

Mufti Perlis turut pertikai kuarantin menteri 3 hari, apa beza tubuh mereka dengan rakyat biasa?

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan tempoh kuarantin yang ditetapkan hanya tiga hari kepada jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara.

Beliau bertanya adakah kelonggaran sama boleh diberikan kepada beliau jika pulang dari luar negara.

“Bolehkah kalau saya ke luar negara saya hanya dikuarantin tiga hari?

“Apakah beza tubuh saya dengan tubuh mereka yang mendapat kelonggaran ‘istimewa’?” tulisnya dalam ciapan di Twitter pada Selasa.

Beliau menyentuh prosedur operasi standard (SOP) terbaharu ditetapkan dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan semalam.

Dokumen perintah berjudul ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba mengikut kuasa (Akta 342) seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berkuat kuasa hari ini, jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara tidak perlu menjalani SOP tempoh kuarantin 10 hari seperti ditetapkan sejak 14 Disember 2020.

Pengecualian sehingga 1 Ogos 2021 itu menetapkan jemaah menteri hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123040/BERITA/Nasional/Apa-beza-tubuh-mereka-yang-dapat-keistimewaan-soal-Mufti-Perlis