MP pembangkang keluar dewan bantah keputusan benar MP kuarantin hadir pakai PPE

MP pembangkang keluar dewan bantah keputusan benar MP kuarantin hadir pakai PPE

Peruntukan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa melepasi bantahan pembangkang apabila ia dibentang untuk undian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, Ahli Parlimen tidak bersetuju seramai 7 orang berbanding 110 yang bersetuju apabila RUU itu diundi.

“72 tidak hadir, 31 tidak mengundi,” katanya ketika mengumumkan hasil undian.

Terdahulu pembangkang memohon undian belah bahagi dibuat selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong usul supaya peruntukan bagi kementerian itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Dewan bagaimanapun kecoh apabila Ahli Parlimen yang perlu menjalani kuarantin di rumah, iaitu Adham Baba (BN-Tenggara), M Saravanan (BN-Tapah) dan P Prabakaran (PH-Batu) kerana disahkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 dibenar hadir mengundi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) itu boleh hadir ke persidangan dengan pematuhan SOP ketat, termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Katanya, Ahli Parlimen berkenaan akan dibawa menaiki ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

“Saya difahamkan pagi ini terdapat tiga orang yang meminta kebenaran datang (ke Parlimen). Kalau mereka ingin mengundi perlu memakai PPE dan akan masuk melalui pintu galeri awam Dewan Rakyat.

“Undi akan diambil daripada mereka dan penghitung serta pemerhati terpaksa memakai pelindung muka,” katanya ketika mengulangi penjelasan yang dibuat sebelum perbahasan peringkat jawatankuasa kementerian itu bermula.

Berang dengan penjelasan itu semasa proses undi belah bahagi berjalan, majoriti Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim keluar dewan kerana tidak berpuas hati Azhar membenarkan tiga wakil rakyat terbabit hadir mengundi.

Beberapa wakil pembangkang lain dilihat tidak keluar, termasuk Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).

Azhar kemudian berkata, tiga Ahli Parlimen terbabit disaring negatif dan dibenar hadir, tetapi perlu mematuhi SOP ketat, termasuk memakai PPE.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana wakil rakyat terbabit berhak mengundi.

“Pada Khamis lalu terdapat seorang wakil rakyat dari sebelah sini (pembangkang) yang tidak patuhi perintah kuarantin datang mengundi.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku lagi. Jadi lebih baik saya ‘regulate’ pengundian ini lebih baik, iaitu dengan mengarahkan mereka yang perlu dikuarantin datang memakai PPE bagi menjaga keselamatan Ahli Parlimen lain,”katanya.

Penggulungan perbahasan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan dibuat oleh menterinya Annuar Musa, dan merupakan peruntukan kementerian ke-23 yang diluluskan.

Kementerian Wilayah Persekutuan diperuntukan sebanyak RM956 juta dalam Belanjawan 2021, iaitu RM256 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM700 juta sebagai perbelanjaan pembangunan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/14/110-setuju-peruntukan-kementerian-wilayah-dilulus-selepas-pembangkang-keluar-dewan/

COMMENTS