Moratorium perlu dilanjutkan ekoran PKP, darurat – FOMCA

Moratorium perlu dilanjutkan ekoran PKP, darurat – FOMCA

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan supaya moratorium dilanjutkan bagi membantu golongan terkesan, susulan pengisytiharan darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata dalam situasi semasa, ada rakyat yang belum mendapat pekerjaan selepas diberhentikan, berdepan pemotongan gaji, selain tidak jelas mengenai masa depan mereka.

Selain itu, ada golongan yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil yang turut mengalami kesukaran, dengan sesetengah daripada mereka mungkin terpaksa menutup perniagaan.

“Walaupun kedai makan dan gerai penjaja di negeri yang dikenakan PKP dibenarkan beroperasi, namun jumlah pelanggan mereka berkurangan kerana ramai yang tidak keluar rumah.

“Selain itu, rentas negeri dan daerah juga tidak dibenarkan, yang menyebabkan sesetengah perniagaan kecil yang menjadi tumpuan pelancong turut terjejas,” katanya kepada BH, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari bermula tengah tadi membabitkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, susulan peningkatan besar jumlah kes COVID-19 di negara ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Ketika pelaksanaan PKP pertama pada 18 Mac lalu, kerajaan melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan bermula April tahun lalu, sebelum dilanjutkan selama tiga bulan, untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan COVID-19.

Mohd Yusof berkata, selain moratorium, rakyat juga perlu diberi pilihan untuk menstruktur pinjaman bank mereka bagi mengurangkan jumlah bayaran bulanan.

“Kita tidak pasti bila PKP ini akan berakhir kerana jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi ketika ini. Jadi, langkah sewajarnya untuk membantu rakyat perlu diambil,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/775655/fomca-mohon-moratorium-dilanjutkan-susulan-darurat-pkp

COMMENTS