Mesyuarat ‘Top Five’ Umno bincang tarikh PRU tangguh lagi. Perjumpaan ‘top five’ Umno untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijangka pada Sabtu ini, ditangguhkan.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menerima pesanan (mesej) dari Setiausaha Agung Umno berhubung penangguhan mesyuarat terbabit.
“Hari Sabtu (17 September) ini mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) khas tapi dah ditangguhkan, kita tunggu tarikh baharu yang akan diumumkan Setiausaha Agung.
“Kena tanya Setiausaha Agung (kenapa ditangguhkan) kita cuma dapat mesej (pesanan) ditangguh,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di sini, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, sebelum mesyuarat MKT dijalankan, kebiasaannya ‘top five’ ini akan bertemu.
“Biasanya macam itu lah, sebelum MKT (mesyuarat) akan ada ‘top five’ dan biro politik,” katanya.
‘Top Five’ Umno merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.
Ahad lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ Umno berhubung tarikh PRU-15.
Beliau dipetik berkata, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharu beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
“… kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen,” katanya.
BACA:
Pengemis kantoi main judi online dalam handphone sambil kutip sedekah
Kecoh ular masuk telinga wanita ni, siap ternganga lagi tu..