Memperoleh restu keluarga sering menjadi faktor utama yang mendorong ramai rakyat Malaysia memilih untuk bernikah di Selatan Thailand.
Namun, tindakan ini tanpa disedari boleh menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari,
seperti yang dialami oleh seorang wanita selepas bernikah di Thailand pada 14 Ogos tahun lalu.
Dalam perkongsiannya di grup Tanya Peguam di Facebook, wanita tersebut meluahkan kekecewaannya
Apabila suaminya gagal hadir ke mahkamah bagi proses pendaftaran perkahwinan mereka.
“Walaupun perkahwinan kami telah dilaporkan di pejabat agama pada 3 September tahun sama, kes menjadi rumit kerana hanya saya hadir ketika perbicaraan,” katanya.
Wanita itu juga menyatakan bahawa kes perbicaraannya telah berlangsung pada Ogos tahun ini, di mana beliau sudah menyelesaikan bayaran denda sebagai isteri. Bagaimanapun, kes suaminya ditunda ke November, tetapi dia tetap tidak hadir.
Lebih memburukkan keadaan, wanita itu mendakwa hubungan mereka kini telah berakhir.
“Saya dan dia sudah tidak bersekedudukan dan tidak berhubung sekian lama. Kalau ikutkan taklik, perpisahan sudah berlaku atas beberapa sebab, dan yang terbaru, dia juga telah melafazkan cerai,” jelasnya.
Namun, wanita tersebut menghadapi kekangan untuk membuat sebarang tuntutan kerana pendaftaran perkahwinan mereka masih belum selesai.
Atas faktor kewangan, dia meminta pandangan orang ramai tentang cara menyelesaikan masalah ini tanpa melibatkan kos yang besar.
“Selain melantik peguam untuk mendapatkan sijil nikah bagi saya sahaja, ada tak cara lain untuk kurangkan kos? Saya boleh buat laporan polis atau bagaimana?” soalnya dalam nada kebuntuan.
Wanita itu turut mendakwa punca utama perpisahan adalah sikap suaminya yang curang dan masih gemar berfoya-foya.
Permintaan wanita itu disambut dengan pelbagai pendapat daripada warganet.
“Sudah ada perintah mahkamah untuk pendaftaran perkahwinan? Jika bernikah di Thailand, prosesnya memerlukan dua kali kehadiran di mahkamah.
“Pertama untuk pengesahan pernikahan dan kedua untuk pendakwaan. Mahkamah hanya akan mengeluarkan perintah pendaftaran selepas kedua-dua proses selesai.
Jika masih di peringkat pendakwaan, pernikahan belum boleh didaftarkan kerana ia belum disahkan secara rasmi,” ulas seorang pengguna Facebook.
BACA: ‘Saya jaga adik-adik macam anak sendiri, saya galas tanggungjawab yang sepatutnya mak galas’