Menteri kewangan kongsi larian di media sosial, dulu dipuji kini teruk disindir

Menteri kewangan kongsi larian di media sosial, dulu dipuji kini teruk disindir

Sebelum ini, perkongsian Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di media sosial yang berjaya menghabiskan larian jarak jauh dalam tempoh singkat mendapat pujian rakyat.

Namun, pagi ini warganet sudah mulai menyindir ahli senator tersebut dengan mengaitkan isu pengeluaran daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik.

Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati apabila menganggap Tengku Zafrul beruntung masih mempunyai masa untuk bersenam berbeza dengan ramai rakyat yang pada masa ini setiap detik berusaha keras mencari sesuap nasi demi meneruskan kehidupan.

Justeru, mereka mengingatkan menteri Kabinet Muhyiddin Yassin itu benar-benar peduli dengan nasib rakyat agar tahu bagaimana tinggi rendahnya langit impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

“Minta Tengku luluskan RM10,000 untuk pengeluaran KWSP. Rakyat perlukan untuk bekalan di masa hadapan. Sekarang ini kita tak tahu bila Covid-19 akan berakhir.

“Tengku tak mengapa. Lari-lari pun peluh keluar, duit masuk kalau rakyat berlari peluh tetap keluar tapi duit belum tentu masuk Tengku. Harap Tengku dapat pertimbangkan,” kata Syahmi Saharudin.

Sementara itu, Mohd Syahir pula berpendapat sektor pelancongan negara akan kembali rancak sekiranya kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP RM10,000 kepada semua golongan dan menyambung moratorium selama enam bulan secara pukal dan automatik.

“Pemain-pemain industri berkenaan akan bangkit kembali YB! Semoga Allah melembutkan hati YB dan semua menteri untuk mendengar keluhan majoriti rakyat Malaysia yang terkesan dengan Covid-19 ini secara pukal dan bukan bersasar. Amin ya Robb!” tulisnya.

Bagi Rozaiman pula, rakyat yang cemburu dengan Tengku Zafrul kerana tidak terpukul dengan pandemik melanda dunia itu sangat berharap keajaiban di pihak kerajaan bagi meringankan beban hutang yang ditanggung.

“Untung YB mampu luang masa untuk berjogging dan berbasikal ketika ini tanpa perlu risau akan keadaan kewangan kerana tiada komitmen hutang yang perlu dirisaukan.

“Untuk makluman YB, ada rakyat terpaksa luangkan masa 24 jam untuk memikirkan apa yang akan terjadi esok setelah hari ini, kenaikan kos sara hidup, dan komitmen-komitmen hutang yang semakin tertunggak,” tegasnya.

Terdahulu, Tengku Zafrul, 47, memberitahu beliau telah menghabiskan larian sejauh 18.3 km sekitar ibu negara dengan menempuh beberapa bangunan dan kawasan bersejarah termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad berhadapan Dataran Merdeka.

“Ahad seperti ini memang kebiasaannya ramai pelancong asing dan tempatan, namun, kita memahami situasi luar biasa ini.

“Ketika berlari pun saya sering memikirkan nasib peniaga kecil dan mereka dalam sektor pelancongan. It’s challenging, I admit.

“Saya percaya kita boleh menang against our common enemy – Covid-19, dan kita boleh mencipta sejarah yang terbaik jika kita terus bersatu dan bekerjasama,” katanya sambil menyertakan gambar beliau dan peta lariannya dalam masa 1 jam 54 minit dengan purata penyudah 1km (pace) hanya 6 minit 13 saat.

 

 

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/menteri-kewangan-padu-berlari-kena-sindir-dengan-rakyat/

COMMENTS