Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan bahawa elemen seni bina masjid akan dipaparkan dalam video promosi
Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang lebih lengkap dan terperinci. Video tersebut dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan bahawa video montaj yang menjadi tular dan menerima kritikan itu hanyalah sebuah video ringkas berdurasi 41 saat untuk pelancaran awal, dan bukannya video akhir yang dimaksudkan.
Fokus utama video awal itu adalah untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang inklusif dengan menampilkan pelbagai keindahan negara.
“Saya berharap semua pihak memahami bahawa video pelancaran ini memang dirancang untuk pendek dan padat.
Malaysia memiliki pelbagai keunikan termasuklah seni bina masjid yang menakjubkan, dan elemen-elemen tersebut akan diperincikan dalam video promosi yang lebih panjang,” jelas Tiong.
Menurut beliau, video promosi akhir nanti akan menyentuh pelbagai aspek seni, budaya, serta daya tarikan pelancongan Malaysia, termasuklah silat, tarian ngajat, tarian sumazau, dan seni bina masjid yang menjadi kebanggaan negara.
Video tersebut juga menampilkan pelbagai rumah ibadat yang menggambarkan kepelbagaian agama di Malaysia, namun tiada niat untuk meminggirkan mana-mana elemen penting. Isu ini timbul selepas beberapa pihak, termasuk pemimpin pembangkang, mempersoalkan ketiadaan elemen masjid dalam video montaj yang pertama.
Menteri Pelancongan itu turut mengingatkan bahawa tujuan utama video tersebut adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia, dan bukannya untuk membangkitkan isu agama atau perkauman.
Beliau meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang memanipulasi isu ini untuk mencetuskan perpecahan.
“Usaha kami adalah untuk menggalakkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia, bukan untuk menimbulkan sentimen agama atau perkauman. Kami menentang keras golongan yang cuba menjadikan isu ini sebagai bahan kontroversi yang mengganggu kestabilan sosial,” kata beliau lagi.
King Sing menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mengutamakan nilai inklusiviti dan perpaduan. Justeru, beliau menyeru agar semua pihak berhenti daripada mempolitikkan isu ini dan terus mendukung usaha promosi negara demi manfaat bersama.
“Marilah kita semua mengekalkan keharmonian dan memfokuskan usaha kita untuk menjadikan Malaysia destinasi pelancongan bertaraf dunia yang mampu mengukuhkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, seni, dan budaya,” tambahnya.
BACA: Wanita warga emas ditahan selepas guna wang mainan untuk beli barangan harian
2 thoughts on “Menteri dedah sebab apa tiada masjid dalam montaj tahun melawat Malaysia”