Pengguna media sosial dari pelbagai platform telah memulakan gerakan digital untuk memboikot selebriti yang enggan membicarakan isu sosial,
Terutamanya perang di antara Israel dan Gaza, menurut laporan the national news semalam.
Gerakan boikot ini dikenali sebagai ‘blockout’ atau ‘digital guillotine’.
Ia mula mendapat momentum sejak seminggu lalu, terutama setelah acara Met Gala yang diadakan di New York dan dihadiri oleh rangkaian artis terkenal dari Amerika Syarikat dan selebriti utama lain.
Majlis gala ini menjadi sorotan pengguna media sosial, yang membandingkannya dengan tragedi di Gaza, terutamanya semasa Israel memulakan serangan di Rafah pada Isnin minggu lalu.
“Terdapat kempen boikot besar-besaran, #Blockout2024 yang sedang berlangsung di mana kami memutuskan hubungan dengan semua selebriti yang tidak membicarakan isu Palestin atau mendesak gencatan senjata. Ia adalah gerakan global,” kata pengguna dari Bahrain, Karim Wafa-Al Hussaini di platform X.
Dengan menggunakan tanda pagar #celebrityblocklist, #letthemeatcake dan #blockout, pengguna media sosial menyenaraikan nama selebriti yang menghadiri majlis Met Gala atau mempunyai pengaruh besar tetapi tidak pernah mengutarakan pendapat mengenai peristiwa di Gaza.
Netizen mencadangkan agar kumpulan selebriti ini diboikot secara dalam talian, yang dilihat sebagai tindakan yang boleh merosakkan pendapatan atau pengaruh mereka.
“Saya menyenaraikan semua selebriti yang hadir di Met Gala dan saya akan menandakan jika mereka berdiam diri atau menggunakan platform mereka untuk membicarakan genosid di Gaza,” kata pengguna TikTok, @silentcelebs8 dalam satu klip video yang juga menunjukkan senarai panjang nama selebriti yang terlibat.
Sebilangan selebriti yang disenaraikan diikuti perkataan ‘berdiam diri’ di sebelah nama mereka.
Antara selebriti yang disebut dalam gerakan ini termasuklah Cardi B, Kim Kardashian, Taylor Swift dan Beyonce.
Sementara itu, saluran berita NPR melaporkan bahawa beberapa selebriti telah kehilangan pengikut mereka sejak bermulanya gerakan dalam talian ini.
Menurut laporan tersebut, Taylor Swift telah kehilangan kira-kira 300,000 pengikut di platform TikTok sejak seminggu lalu dan 50,000 lagi di Instagram sejak permulaan gerakan yang sama.
Penyanyi terkenal ini mempunyai sekitar 33.3 juta pengikut di TikTok dan 283 juta di Instagram sebelum ini.