Masa depan yang kelam buat Musa Aman

Masa depan yang kelam buat Musa Aman

Polemik politik di negeri Sabah semakin panas berikutan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Ia berikutan tindakan Yang Di Pertua Negeri Sabah itu membubarkan DUN Sabah ekoran dakwaan bahawa Tan Sri Musa Aman berjaya mendapatkan sokongan sebanyak 32 orang ADUN Sabah untuk menukar kerajaan negeri Sabah kepada Barisan Nasional.

Tindakan pantas Datuk Seri Shafie Apdal yang mengadap Yang Di Pertua Sabah bagi mendapat perkenan pembubaran DUN Sabah adalah tindakan bijak, bagi mengelakkan krisis di Sabah terus berpanjangan. Rakyat Sabah khususnya dan seluruh Malaysia umumnya tidak mahu satu lagi episod pengkhianatan berlaku, dan membiarkan para opportunis mentadbir negeri dan negara. Cukuplah ‘Langkah Sheraton’ menjadi bukti dan saksi betapa murahnya ahli-ahli politik negara menjual beli prinsip perjuangan serta mandat rakyat dalam pilihanraya umum ke 14 yang lalu. Sabah mesti dipelihara dari golongan terdesak yang mahu mendapatkan jawatan semata-mata, dan bukan kerana mahu berkhidmat untuk rakyat secara jujur dan ikhlas.

Lebih utama dari itu, tindakan desperado Tan Sri Musa Aman bersama 32 orang ADUN Sabah mengheret Yang Di Pertua Sabah ke mahkamah bagi mengabsahkan tindakan mereka adalah tindakan jahat, kotor dan mencemarkan institusi Yang Di Pertua negeri. Demi kemaruk kuasa, Tan Sri Musa Aman sanggup mengaibkan Yang Dipertua Sabah, sedangkan TYT Sabah tidak perlu diheret ke dalam gelanggang politik. Apakah niat tersirat Tan Sri Musa sebenarnya, beliau mahu menjadi Ketua Menteri atau Yang Di Pertua Sabah?

Langkah politik Tan Sri Musa Aman itu terlihat sangat dangkal dan biadap. Umum mengetahui bahawa menurut perlembagaan negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) mempunyai kuasa mutlak untuk melantik ketua menteri dan berkuasa membubarkan dewan undangan negeri (DUN) dengan nasihat ketua menteri. TYT dan Istana Negeri merupakan hieraki tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Sabah. Ia memiliki martabat dan kedaulatan undang-undang negeri. Sebagai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pasti mengetahui bahawa apa yang sedang dilakukannya itu dan implikasi terhadap dirinya, UMNO–BN bahkan Perikatan Nasional sendiri. Langkah sumbangnya sangat mencabar kedaulatan dan kedudukan institusi istana negeri. Saya tidak dapat membayangkan jika itu dilakukan oleh para pemimpin Pakatan Harapan di negeri-negeri lain. Pasti kami akan dianggap penderhaka, pengkhianat, musuh negara, anti istana dan Raja-Raja serta lain-lain label yang jahat.

Apa yang menghairankan, Tan Sri Musa sanggup berperang dengan sesiapa sahaja termasuk Yang Di Pertuanya sendiri. Sedangkan jika beliau menang dalam Pilihanraya Negeri Sabah, Yang Di Pertua itu juga yang akan dihadapnya untuk mendapatkan mandat memerintah negeri. Beliau juga seperti tidak mahu berpijak pada realiti dengan Pilihanraya Negeri Sabah adalah kaedah terbaik bagi memastikan siapa yang mendapat kepercayaan dan mandat rakyat sebenarnya. Bukankah Perikatan Nasional (PN) sedang dalam momentum tertinggi untuk menang, dengan siri kemenangan bergaya dalam pilihanraya kecil sejak kebelakangan ini. Mengapa beliau tidak sanggup menunggu dalam PRN Sabah untuk menobatkan beliau sebagai pemenang sebenar dan menjadi Ketua Menteri yang sah?

Ini membuktikan bahawa beliau dalam keadaan tersepit, mungkin kerana ‘telah banyak modal’ dihabiskan bagi ‘membeli sokongan’ daripada ADUN-ADUN yang melompat itu. Atau mungkin beliau sudah berpatah arang dan mengetahui dirinya telah dipermainkan oleh musuh politik dalamannya, serta memahami beliau sudah tidak lagi relevan dalam politik Sabah, maka tindakan saman terhadap Yang Di Pertua diambilnya.

Rakyat Sabah telah ada jawapan terhadap polemik politik di negeri itu, dengan memilih tokoh yang membela kebenaran dan kejujuran, menolak politik korup dan golongan opportunis yang rakus dan tamakkan kuasa.

Sumber :

COMMENTS