Mas Idayu buktikan diri masih relevan, tak layak masuk pertandingan

Oleh SURIANI HAMDAN

Penyanyi Mas Idayu, 52, tampil dengan lagu baharu berjudul Harum Mekar Di Hati dan menyatakan keterbukaannya menerima sebarang kritikan daripada pendengar.

Menurutnya, kemunculan lagu ini menjadi bukti bahawa beliau masih kekal relevan walaupun sudah sekian lama tidak merakamkan karya baharu untuk pasaran tempatan.

“Kalau ada yang mahu menilai, terpulang. Saya hadir sebagai seorang penyanyi dan tampil dengan single baharu.

Apa yang penting, saya keluarkan lagu dan masih mampu menyanyi. Saya tak kisah apa yang orang nak cakap,”

kata Mas Idayu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut di Red Box Karaoke, The Curve, Petaling Jaya.

Mas Idayu buktikan diri masih relevan, tak layak masuk pertandingan

Mas Idayu turut menjelaskan, sebagai penyanyi, beliau perlu terus menonjolkan bakat agar tidak hilang dari radar industri hiburan.

“Sebagai penyanyi, kalau kita tak buat apa-apa untuk menonjolkan bakat, itu bermakna kita hanya diam sepi. Jadi, saya buktikan yang saya masih ada dengan lagu baharu ini,” tambahnya.

Lagu Baharu Bukti Versatiliti Mas Idayu

Lagu Harum Mekar Di Hati, ciptaan Ajai, mengetengahkan genre pop rock yang lari daripada genre dangdut yang sinonim dengan Mas Idayu sebelum ini.

Menurut beliau, ini bukan kali pertama beliau menyanyikan lagu di luar genre dangdut, malah ramai peminat lama tahu bahawa beliau pernah merakamkan pelbagai genre sebelum ini.

“Sebenarnya, saya lebih biasa dengan lagu-lagu sebegini. Tetapi nama saya dikenali melalui genre dangdut. Ajai tahu saya seorang yang versatil, jadi dia beri saya lagu pop rock ini,” katanya lagi.

Jawab Kritikan Tentang Peranan Sebagai Juri

Mas Idayu juga mengulas kritikan yang sering diterima kerana kelantangannya ketika menjadi juri dalam pelbagai program nyanyian

. Menjawab desakan segelintir pihak yang mahu beliau menyertai pertandingan nyanyian untuk membuktikan kemampuan, Mas Idayu menegaskan bahawa beliau sudah tidak sesuai untuk bertanding.

“Saya sudah tidak layak masuk pertandingan. Saya masih relevan dalam industri, jadi takkan saya nak jatuhkan diri hanya kerana mahu ikut cakap netizen? Kalau saya masuk pertandingan, nak saya bersaing dengan siapa?

“Pengalaman saya sebagai penyanyi sebelum ini adalah apa yang saya kongsi ketika menjadi juri. Tapi sebagai manusia, bila usia meningkat, suara pun akan berubah,” jelasnya.

Kemunculan Harum Mekar Di Hati membuktikan bahawa Mas Idayu bukan sahaja masih mampu menyanyi, tetapi juga terus relevan dalam industri muzik tanah air.

BACA: Jamal Abdillah dedah rahsia gemar pakai minyak wangi wanita