Mampukah Pas dan Umno guna satu lambang dalam PRU 15

Mampukah Pas dan Umno guna satu lambang dalam PRU 15

Pemimpin Umno, PAS dan Bersatu mengadakan pertemuan malam tadi di ibu negara dipercayai bagi membincangkan usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) termasuk usaha mendaftar gabungan itu secara rasmi.

Menurut sumber parti, pertemuan itu bagi mencari “persamaan” dalam membincangkan isu berbangkit khususnya sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertemuan itu dikatakan membabitkan “jawatankuasa rundingan” yang dibentuk parti masing-masing.

“Pertemuan itu tidak menyentuh soal agihan kerusi, sebaliknya perkara-perkara teknikal membabitkan usaha mendaftar PN secara rasmi.

“Ia mencari titik persamaan antara parti-parti yang kini dalam usaha memperkukuhkan PN dan juga menghadapi PRU15.

“Pertemuan ini bukan bermakna kita terus setuju untuk membentuk PN secara rasmi sebaliknya banyak perkara masih perlu diperhalusi,” kata sumber kepada Malaysiakini.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata bahawa pertemuan yang dijadualkan berlangsung malam tadi terpaksa dibatalkan.

Sebaliknya ia dijadualkan akan diadakan hujung minggu ini.

Bagaimanapun, sumber yang juga pemimpin salah satu parti politik yang terlibat dalam rundingan itu memaklumkan bahawa pertemuan itu diadakan tanpa pengetahuan media.

Umno dan PAS yang membentuk Muafakat Nasional sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan PN.

Kerajaan PN dibentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bertindak membawa parti itu keluar PH.

Ia kemudiannya disusuli dengan tindakan sekumpulan Ahli Parlimen PKR diketuai bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali bertindak keluar parti.

Sementara itu, sumber berkata, hasil pertemuan jawatankuasa rundingan itu akan dibentang dalam mesyuarat parti masing- masing.

“Apa yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa runding itu akan dibawa ke peringkat parti untuk dibincang dan diperhalusi.

“Ia tidak bermakna apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu akan terus dipersetujui,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/532582

COMMENTS