Malaysia berdepan dengan inflasi dalam tempoh yang panjang kali ini. Kadar inflasi atau kenaikan harga barangan di Malaysia dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berikutan beberapa faktor pendorong kenaikan kos.
TA Securities dalam nota penyelidikannya menjangkakan faktor itu termasuk aliran meningkat berterusan dalam kos input serta gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan.
Perkembangan itu, katanya turut diburukkan lagi dengan ketegangan geopolitik yang berlaku di peringkat global selain langkah berpanjangan China menutup pintu sempadannya.
“Faktor-faktor ini boleh mendorong kos yang lebih tinggi kepada pengguna, terutama jika perniagaan mengharapkannya menjadi lebih kekal pada masa hadapan.
“Yang pasti, harga makanan yang melambung tinggi dan kos pengangkutan yang mahal akan terus mendominasi inflasi Malaysia dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
TA Securities berkata, ia masih mengekalkan unjuran inflasi negara pada 2.8 peratus untuk tahun ini, seiring dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.
Katanya, di bawah senario garis dasar itu, pihaknya menjangkakan harga purata minyak mentah Brent berada pada AS$105 satu tong berbanding ramalan BNM sekitar AS$100 hingga AS$120 satu tong.
Ia turut menjangkakan harga petrol RON95 dan diesel akan terus diberikan subsidi oleh kerajaan pada tahun ini.
“Pengiraan kami menunjukkan inflasi akan meningkat sebanyak 0.03 peratus bagi setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak.
“Kesan pengganda mungkin lebih besar dalam senario terburuk, sekiranya pengeluar menyalurkan kos yang semakin meningkat kepada pengguna.
“Inflasi teras berada pada aliran menaik, meningkat sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun pada April 2022,” katanya.
TA Securities berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) tanpa bahan api turut meningkat pada kadar yang lebih pantas sebanyak 2.2 peratus pada April.
Segmen ini, katanya meliputi semua barangan dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, RON97 dan diesel.
BNM, katanya turut meramalkan bahawa inflasi teras dijangka lebih tinggi secara purata antara dua hingga tiga peratus tahun ini.
“Bagaimanapun, inflasi boleh meningkat sehingga 3.7 peratus tahun ini jika pelan subsidi bahan api baharu dimulakan serta-merta,” katanya.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, sementara kerajaan masih mencari mekanisme penstrukturan semula yang sesuai, ia percaya bahawa subsidi pukal semasa sepatutnya ditamatkan berikutan peningkatan drastik dalam pembayaran subsidi bahan api.
“Kami berpendapat rancangan itu boleh dilaksanakan selepas pilihan raya umum (PRU) yang berkemungkinan boleh berlaku seawal suku ketiga ini.
“Namun, kebimbangan terbesar adalah kepada 2023 dan 2024 dengan lebih banyak risiko kenaikan inflasi,” katanya.
TA Securities berkata, di bawah senario terburuk, kadar inflasi Malaysia boleh meningkat sehingga empat peratus tahun depan jika kerajaan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus dan pada masa sama menghapuskan subsidi bahan api seawal April 2023.
Katanya, sehingga ada arah yang lebih jelas daripada kerajaan, ia akan mengekalkan senario asasnya dan percaya kesan penuh faktor ini hanya dapat dilihat pada 2024.
BACA:
Sultan Selangor selar kenyataan Pas, beri kenyataan tidak tepat tentang baginda