Mak cik ingatkan (ikan) toman gigit kaki sebab memang ada toman besar di situ
.Bila menyelam dan terpegang muncung dan hidungnya…baru mak cik tahu ia adalah buaya,” ujar warga emas
Nurkaisa Ausad, 65, yang nyaris maut dibaham buaya.
Dalam kejadian jam 4 petang, Jumaat lalu, mangsa cedera di kaki kanan akibat dibaham buaya di Sungai Timun, Lubok China, Alor Gajah di sini.
Difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Nelayan Sungai Timun dan sedang menimba air di dalam perahunya selepas menangkap udang galah bersama beberapa nelayan lain menggunakan serkap.
Mengimbau detik cemas itu, Nurkaisa berkata, perahunya berada di hadapan perahu lain.
“Sebaik mula menimba air dari dalam perahu, kaki kanan saya yang terjuntai di dalam air disambar sesuatu dan ditarik ke dalam sungai.
“Mujur saya sempat memegang tali bot dengan kuat hingga buaya itu tidak dapat mengheret saya ke tengah sungai.
“Dalam kesakitan itu mak cik mengendurkan sedikit tali perayu dan menyelam sebelum terpegang bahagian hidung buaya itu.
@mnhelmy itu hari mana yang tak dapat join kitaorang ngecal tu, video ni untuk korang.. #DUYONGkita #ybMatDuyong #melaka #ngecal #merdeka #fyp ♬ original sound – Mohd. Noor Helmy
“Mak cik pegang sekuat hati bahagian hidung buaya itu dan meronta-ronta hingga ia melepaskan gigitan,” katanya kepada Harian Metro semalam.
Nurkaisa berkata, dia kemudian menendang buaya itu bersaiz besar itu sebelum berenang naik ke perahu dan menjerit meminta tolong.
“Akibat gigitan buaya itu, mak cik cedera dari bahagian tumit hingga keting. Malah pembedahan terpaksa dilakukan kelmarin susulan kecederaan dialami.
“Setakat ini mak cik masih ditahan di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan doktor suruh berehat,” katanya yang bersyukur terselamat dalam kejadian itu.
Mengulas lanjut, Nurkaisa berkata, sepanjang hampir 20 tahun menangkap udang galah di sungai berkenaan untuk dijual kepada peraih, itu kejadian pertama dia diserang buaya.
“Mak cik bersyukur terselamat…setiap kali turun ke sungai hanya berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.
“Sama ada serik atau tidak untuk mencari udang galah lagi, saya tidak pasti,” katanya yang kematian suami sejak sembilan dan mempunyai empat anak.
Dalam pada itu, insiden menimpa Nurkaisa turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang memuat naik video sewaktu menziarahi mangsa di HTJ, Seremban.