Masih ada ibu bapa yang terlalu melebihkan anak lelaki hingga mengabaikan anak perempuan dan disuruh melakukan semua perkara sendiri.
Pada akhirnya anak terbiar ini jugalah yang terpaksa membantu mereka di kala susah dan sudah tua kelak.
Seorang wanita terkilan dengan layanan berat sebelah oleh ibu buatnya berbanding dengan abang-abangnya.
Menerusi luahan yang dihantar kepada pengguna X, @pelisahh, wanita yang menyembunyikan identitinya mempersoal mengapa layanan istimewa diberi ibu kepada abangnya.
“Salah ke kalau saya terasa dengan mak yang selalu lebihkan anak lelaki dia iaitu abang abang saya.
“Lauk dah habis untuk abang abang saya, mak saya sanggup masakkan lauk baru tapi kalau saya baru balik dari kerja 10 malam nak makan tapi lauk dah habis, mak saya suruh saya masak sendiri.
“Kalau mak masak sesuatu, mesti mak asingkan siap-siap untuk abang-abang saya. Betapa istimewanya anak lelaki dia, itu ke yang dikatakan tak pilih kasih kat anak anak,” soalnya dalam luahan tersebut.
Pada masa sama, wanita tersebut memaklumkan abangnya tidak bekerja malah tak membantu apa-apa dalam kerja rumah.
“Abang saya tak buat apa pun kerja kat rumah, bekerja pun tak. Dia punya pemalas tu boleh dilihat dengan jelas kot tapi mak saya lebihkan abang-abang saya juga.
“Mak-mak memang bencikan anak perempuan ke?” ujarnya mengakhiri luahan tersebut.
Rata-rata netizen turut berkongsi nasib sama malah menasihati wanita tersebut untuk tinggal berasingan.
“Samalah, nak tidur satu hari pun bukan masalah sebab anak lelaki penat kerja, anak perempuan serba tahu.
“Sesetengah mak memang tak suka anak perempuan, ini namanya pelan persaraan.
“Sama! Bila kita cakap yang anak lelaki anak kesayangan, mak tak mengaku, tapi boleh nampak.
“Mak awak rasa dia boleh tumpang anak lelaki dia je tu nanti dah tua. Keluar je dari rumah tu, sewa bilik,” antara komen netizen.
Baca juga: Netizen sindir Terengganu FC macam GISBH tak bayar gaji pemain bola