Ibu bapa sentiasa perlu dikenang jasa mereka, walaupun mereka tidak mengharapkan balasan ketika mengasuh, mendidik, dan membesarkan anak-anak.
Seorang wanita ini menunjukkan rasa kasihnya terhadap ibunya dengan berusaha memastikan kebahagiaan wanita itu, lebih-lebih lagi selepas kehilangan suami.
Namun, dia mula gusar apabila mendapati status kenalan lelaki ibunya mencurigakan.
Menurut wanita tersebut, ibunya, yang merupakan seorang ibu tunggal, mula berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook.
Lelaki itu mengaku berasal dari Puchong tetapi kini bekerja di London dalam sektor cari gali minyak dan gas.
Melalui siasatan senyap menggunakan WhatsApp Web, dia mendapati ibunya mula berhubung dengan lelaki tersebut sejak awal November 2024, dan perbualan mereka bermula pada 15 November 2024.
Wanita ini turut memuat naik tangkap layar mesej WhatsApp antara ibunya dan lelaki tersebut.
“Korang yang jauh, tolonglah jenguk mak ayah setiap minggu. Kena check telefon mereka dan tanya kalau ada kenalan baru. Semua sekarang aku dah link dengan e-mel aku. WhatsApp mak aku pun aku buat WhatsApp Web. Facebook dia aku reset dan semua kata laluan aku tahu,” ujarnya.
Percaya bahawa lelaki itu seorang scammer, wanita ini bekerjasama dengan rakannya untuk menyedarkan ibunya. Mereka membuat panggilan palsu, mendakwa terdapat barang atas nama ibunya yang berkaitan dengan dadah.
“Aku minta kenalan aku buat panggilan, kata ada barang atas nama mak aku dan ada dadah dalamnya. Lepas takutkan dia dengan dakwaan boleh ditahan, mak aku terus sedar dia kena scam.
“Mak aku terduduk. Aku tak marah, cuma bagi dia sedar dengan bermain emosi. Aku tunjuk profil lelaki itu dan ugut yang kes ini boleh melibatkan istana serta penyalahgunaan identiti. Aku tanya mak nak ke habiskan usia dalam penjara? Lepas tu aku umpan guna cucu dia. Alhamdulillah, mak dah insaf,” katanya.
Wanita ini bersyukur kerana berjaya menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa penipuan.
“Syukur tiada kehilangan nyawa. Terima kasih kat kawan aku yang buat suara macho dan tegas. Sekarang mak aku serahkan semua media sosial dan telefon kepada aku.
Dia dah kembali seperti mak yang aku kenal, lebih tenang dan bahagia walaupun masih rasa seperti diperdaya,” tambahnya.
Wanita itu turut mendakwa lelaki tersebut menggunakan gambar individu lain untuk memikat ibunya, serta memberikan data peribadi palsu.
Dia turut berkongsi tangkap layar wajah lelaki itu yang memakai kemeja batik biru dan didapati terlibat dalam aktiviti politik tempatan.
“Lelaki berbaju biru itu tidak bersalah, tetapi gambarnya dicuri untuk menipu orang.
Saya buat kajian, keluar semua gambar dia dengan aktiviti politik dan bersama Agong terdahulu,” jelas wanita ini, yang berasal dari Kedah.
BACA: Demi hadiah pertandingan online, lelaki guna khidmat cybertrooper