Mahfuz hairan Hadi ada dalam kerajaan pun bilangan judi makin bertambah

Mahfuz hairan Hadi ada dalam kerajaan pun bilangan judi makin bertambah

Pas sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) lantang menuntut perjudian termasuk berlesen diharamkan.

Sebaliknya, ketika parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berada bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit bertambah pula.

Mengulas sikap Pas itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Melayu Islam PN sebagai kemaruk wang hasil daripada percukaian aktiviti perjudian.

“Hari ini kerajaan yang dikenali sebagai kerajaan Melayu Islam dengan adanya ulama-ulama Pas dan kumpulan ekstrem Melayu dalam kerajaan PN, satu pun lesen perjudian tidak dibatalkan

“Padahal, itulah yang dituntut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang sekarang ini Menteri Undang-undang sewaktu perbahasan Parlimen dulu,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian di hadapan premis kedai yang pada 29 Julai tahun lalu menyaksikan demonstrasi penyokong Pas membantah perpindahan kedai judi di kawasan tersebut.

“Saya menghantar surat kepada Datuk Bandar, dan telah dibatalkan perpindahan kedai nombor ekor itu.

“Namun, selepas lima bulan demonstrasi itu, satu lesen pun kerajaan PN tidak batalkan sebaliknya kita digemparkan mulai Januari 2021, cabutan khas judi ditambah daripada lapan kepada 22 kali setahun.

“Padahal, cabutan khas judi itu telah dikurangkan kepada lapan kali ketika PH memerintah.

“MP dari Pas dan juga Datuk Takiyuddin terus berdiam diri dan membisu,” tempelaknya.

Sehubungan itu, Mahfuz menyifatkan kerajaan PN yang dikenali sebagai kerajaan Melayu Islam dengan mengandungi ulama Pas dan pejuang-pejuang Melayu “mengangkat kembali martabat perjudian” dalam negara ini.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/dulu-pas-mohon-hapus-judi-sekarang-naikkan-judi/