Mahathir cadang Muhyiddin tubuh badan penasihat

Mahathir cadang Muhyiddin tubuh badan penasihat

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengusulkan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menubuhkan badan yang terdiri daripada penasihat berpengalaman bagi memberikan nasihat kepadanya berhubung pentadbiran negara yang dilanda kesan Covid-19.

Kata Mahathir, Muhyiddin menjadi perdana menteri dalam waktu darurat yang dahsyat, ketika negara dilanda kemerosotan ekonomi yang diburukkan lagi dengan wabak Covid-19.

Namun, kata Mahathir, penasihat itu haruslah benar-benar mampu “menasihat”, bukannya terdiri daripada individu yang sekadar menyatakan sokongan kepadanya semata-mata.

“Satu orang saja tak boleh nak tangani semua ini. Sepatutnya, macam Tun Abdul Razak (Hussein) dulu, dia tubuhkan Mageran (Majlis Gerakan Negara), dia ambil orang yang pakar dan menasihat.

“Jadi saya berpendapat bahawa kalau Muhyidin hendak jadi perdana menteri, (kena) guna penasihat yang ada pengalaman.

“Bukan nak orang parti (yang menjadi) penasihat. Tak guna. Nak tahu (terlebih dahulu), ‘dia sokong saya atau pun tidak? (Kalau) Tak sokong, tak boleh’,” katanya ketika menjawab soalan mengenai pandangannya terhadap cara Muhyiddin mentadbir negara, terutamanya dalam waktu Covid-19.

Bagaimanapun, kata Mahathir, begitulah sikap yang ada pada Muhyiddin.

Dakwa Mahathir, Muhyddin pernah berjumpa dengan salah seorang bekas menteri Mahathir untuk menawarkan jawatan menteri, namun apabila ditolak, Muhyididn menganggapnya sebagai musuh.

Menyatakan pendiriannya, kata Mahathir, dia tidak menyimpan dalam hati berkenaan apa yang berlaku di masa lampau meskipun asalkan orang tersebut dapat menyakinkan yang dia mampu menangani masalah negara.

“Tapi saya dapati Muhyiddin belum tunjuk (yang) dia faham masalah yang dia hadapi.

“Yang dia tahu, dia nak jadi perdana menteri. Apabila dia nampak dia tak mendapat sokongan cukup, dia minta supaya darurat diisytiharkan supaya dia kekal menjadi perdana menteri.

“Saya tak bolehlah nak sokong tindakan semacam ini,” katanya lagi.

Mageran ditubuhkan susulan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, yang menyaksikan darurat diisytiharkan di seluruh negara bagi menangani masalah hubungan kaum akibat tragedi tersebut.

Ia dianggotai oleh Ismail Abdul Rahman (menteri dalam negeri); Hamzah Abu Samah (menteri penerangan dan penyiaran); Ghazali Shafie (setiausaha tetap kementerian luar negeri), Abdul Kadir Shamsuddin (pengarah perkhidmatan awam): Jeneral Tunku Osman Jiwa (ketua turus angkatan tentera); Mohammad Salleh (ketua polis negara), Tan Siew Sin (yang dipertua MCA); VT Sambathan (yang dipertua MIC); dan Leftenan Jeneral Ibrahim Ismail selaku ketua pegawai eksekutif Mageran, dan Abdul Razak sebagai pengarah Mageran.

Buat masa sekarang, negara diisytiharkan darurat menerusi pengumuman Muhyiddin pada 12 Jan lalu, bagi membendung pandemik Covid-19 di negara ini, berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos nanti.

Pun begitu, sebahagian pihak menuduh Muhyiddin menggunakan darurat untuk terus berkuasa setelah didakwa hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Parlimen dan DUN digantung, dan pilihan raya juga – termasuk pilihan raya umum, negeri atau kecil – tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563337