Masih ingat dengan tragedi keropok beracun yang menyebabkan dua beradik meninggal dunia?
Selepas lebih kurang sebulan kejadian tersebut, pemilik kebun yang terlibat, Uzair Sahfawi, akhirnya tampil memberikan penjelasan mengenai insiden itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Uzair berkata dia percaya bahawa kelalaian penjaga dua kanak-kanak tersebut merupakan punca utama tragedi malang itu.
Menurut Uzair, keropok beracun itu diletakkan di tempat tinggi, kira-kira 4 kaki setengah dari tanah.
Secara logiknya, kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun tidak mungkin mencapai dan mengambilnya.
“Keropok itu bukan berada di tepi jalan tetapi di dalam pagar, bersebelahan hutan di laluan kera yang masuk ke kawasan tanaman pisang yang saya usahakan.
Tidak mustahil keropok yang dimakan oleh mangsa bukan milik saya kerana penduduk kampung lain juga menggunakan cara yang sama untuk menghalau kera, dan terdapat kebun lain berhampiran.”
Dia turut menunjukkan rumah keluarga mangsa yang hanya terletak sekitar 100 meter dari kebunnya dan mempersoalkan pengabaian penjaga yang membiarkan kanak-kanak tersebut merayau sejauh itu.
“Jarak rumah saya dan rumah mangsa hanya 100 meter. Macam mana budak berusia 2 hingga 3 tahun boleh dibiar merayau dalam kawasan hutan dan semak sejauh itu? Kanak-kanak sebaya mereka biasanya baru belajar berjalan dan masih menyusu ibu.”
Uzair juga meluahkan rasa kecewa terhadap wartawan yang tidak datang ke rumahnya untuk temu bual mengenai kejadian tersebut, sebaliknya hanya pergi ke rumah datuk mangsa yang didakwanya mereka-reka cerita.
“Yang datang ke rumah saya hanya pihak polis. Bagi saya, polis memang terbaik. Saya difitnah disebabkan oleh cerita yang direka oleh datuk mangsa. Kalau boleh, saya nak saman datuk budak-budak ini.
Boleh datang ke kampung saya dan tanya penduduk sekitar rumah budak-budak itu. Memang mereka terabai dari kecil lagi, tanya saja orang kampung di sini.”
Uzair juga berpendapat bahawa penjaga kanak-kanak tersebut perlu ditahan agar berlaku adil kerana mengabaikan anak-anak mereka.
Sementara itu, Uzair mengakui bahawa haiwan perosak tetap wujud meskipun aduan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITIAN) berkali-kali
Kehadiran haiwan perosak ini menjejaskan sumber pendapatan beliau serta penduduk kampung.
BACA: Majikan dari syurga ‘payung’ 4500 pekerja bercuti di hotel 5 bintang