Maaf Anwar, saya terpaksa berbeza pandangan

Maaf Anwar, saya terpaksa berbeza pandangan

Artikel ini amat sukar untuk saya karang kerana saya sendiri berbelah bagi di antara perasaan kesetiaan, pemikiran yang rasional, dan rasa putus asa. Saya tidak akan menulis artikel ini jika ia bukan sesuatu yang amat penting sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. 

Saya juga tidak bermaksud untuk tidak menghormati personaliti terhebat di dalam sejarah Malaysia sekurang-kurangnya dari perspektif saya sendiri, juga kepada keluarga yang sangat dihormati terutamanya Kak Wan dan Nurul Izzah. Keluarga ini pernah bertakhta di hati semua rakyat marhaen tidak mengira bangsa dan agama. Malah mereka masih lagi kekal begitu kini melalui pelbagai bentuk dan cara. 

Malaysia kini bagaikan telur di hujung tanduk yang menuju kehancuran tidak kiralah apabila seseorang itu berbicara tentang integriti, akhlak, kemampanan ekonomi, dan rohani. Kita sangkakan hidup kita di zaman pemerintahan kediktatoran Tun M sudah cukup teruk. Kita sangkakan hidup kita di zaman pemerintahan Najib yang mengeksploitasi orang Melayu dan cara penyampaian yang Islamik, tetapi akhirnya duit negara hilang. Kini kita menghadapi cabaran utama yang mana sebuah kumpulan etnik tidak lagi mempercayai 38 kumpulan etnik lain yang membentuk sebahagian besar warganegara Malaysia. Penantian selama lagi tiga tahun kini bukan lagi pilihan. Pilihan yang tinggal adalah melakukan rampasan kuasa secara tiba-tiba atau mengadakan pilihan raya dalam tempoh 3 bulan. 

Pihak pembangkang pula bukanlah pilihan yang menginspirasikan bagi rakyat Malaysia kerana situasi pergelutan pemerintaan di antara dua pencetus masalah dan tokoh sejarah negara, iaitu Tun M dan Anwar.

DAP dan Amanah sangat bermurah hati menawarkan Tun M tugas sebagai PM walaupun sebenarnya rakyat Malaysia sudah pun sedia maklum bahawa Tun M sedang merancang rampasan kuasa secara halus bermula dari saat beliau mengangkat sumpah sebagai PM buat kali kedua. PKR pula telah menuduh DAP dan Amanah berlaku tidak setia terhadap Anwar dan semangat Reformasi. Anwar menyatakan dengan rasa sedih dan kecewa bahawa beliau telah ‘banyak menderita’ dan masih berpendapat bahawa rakyat Malaysia berhutang posisi PM.

PM pun ketawa sambil menempah lebih banyak kereta Mercedes dan Lexus sebagai kereta rasmi. Mereka juga menggunakan senjata perang paling besar dalam pilihan raya berbentuk RUU355 bagi menghimpunkan orang Melayu ke dalam wilayah mereka. Dalam pada itu, Muafakat Nasional telah pun menjangkakan kemenangan besar dalam kerusi majoriti Melayu. Muhyiddin dan Azmin pula berkemungkinan tidak lagi penting dan hanya akan menjadi sebuah memori jika ia berlaku. Melainkan, jika Sabah dan Sarawak dapat mengemudi pilihan raya yang jauh dari naratif yang toksik berbentuk perkauman dan keagamaan yang ekstrim, mungkin masih wujud sedikit harapan untuk dua lagi generasi rakyat Malaysia akan datang.

Suka saya untuk mengingatkan Anwar tentang ucapannya berkenaan Deklarasi Permatang Pauh pada 20 tahun yang lepas dimana pergerakan Reformasi yang dilancarkan pada waktu itu telah menjatuhkan Tun M dan UMNO dari tampuk pemerintahannya. Saya juga ingin mengingatkan Anwar tentang apa yang saya faham tentang pengorbanan.

Saya adalah penyokong kuat Reformasi semenjak ia dilancarkan. Saya memiliki 300 CD, dan koleksi penerbitan yang mengandungi pidato serta peristiwa-peristiwa penting Reformasi. Rumah saya ibarat  sebuah arkib yang menyimpan artifak Reformasi agar anak-anak saya tidak akan lupa bagaimana seseorang itu sanggup menggunakan kuasa kerajaan untuk menjatuhkan maruah seorang lelaki, namun lelaki tersebut telah membuktikan bahawa kesabaran dan keberanian akhirnya mengatasi tindakan keji penjawat awam tersebut. Tiada sesiapa pun yang perlu melalui apa yang dilalui oleh Anwar. Namun, mangsa terkorban seperti Teoh Beng Hock, Raymond Koh, Amri dan lain-lain, takdir mereka mungkin jauh lebih dahsyat dari apa yang telah dilalui Anwar.

Apabila Anwar membaca Deklarasi Permatang Pauh dahulu, panggilan Reformasi jelas kedengaran dalam nada suaranya. Beliau menyatakan bahawa Reformasi diwujudkan bagi menanam semula integriti, maruah dan kesucian bagi kesemua rakyat Malaysia seperti apa yang dijamin di dalam tujuan asal perlembagaan selepas ia telah dihancurkan sepenuhnya oleh seorang yang bergelar PM. Oleh yang demikian, perlulah saya mengingatkan Anwar bahawa Deklarasi Permatang Pauh sama sekali tidak pernah menjanjikan mana-mana nama untuk menyandang jawatan Perdana Menteri. Ia adalah gerakan rakyat, maka rakyatlah yang akan menentukan.

Kedua, saya ingin mengingatkan Anwar tentang makna pengorbanan. Saya tidak bermaksud untuk melihat perkataan itu secara ilmiah tetapi kita lihat dari segi semangat yang wujud dan penerimaan umum yang sedia ada. Saya memahami bahawa pengorbanan bermaksud mengorbankan segala yang kita kasih dan sayang tanpa mengharapkan apa-apa balasan pun. Atau adakah bukan? Kerana jika kita mendambakan balasan tertentu dan menjangkakan ia akan diberikan kepada kita, maka ia bukan lagi disebut pengorbanan tetapi ia adalah ‘pelaburan’. Hanya dengan melabur atau dalam pelaburanlah kita menjangkakan pulangan peribadi dari pelaburan tersebut dalam bentuk kemewahan atau/dan jawatan yang lebih tinggi. Jika Anwar dan juga yang lain-lain telah berhempas-pulas dan berkorban semasa zaman Reformasi, maka manfaatnya adalah untuk dinikmati oleh ‘orang lain’. Sudah tentu jika seperti Nelson Mandela yang selepas 27 tahun dipenjarakan tanpa bayang harapan, kemudian dibebaskan dan beliau berjuang meraih pilihan raya seterusnya menjadi Presiden, tetapi semestinya itu adalah ketentuan Tuhan. Mandela boleh saja mati dengan mudah di dalam penjara.

Para cendekiawan, musuh dan sahabat melihat Tun M sebagai senjata kepada PH. Beliau adalah punca kepada keterjejasan hampir kesemua institusi awam semasa di bawah naungannya. Beliau tahu selok-belok sistem tersebut. Beliau bagaikan virus. Sama ada anda dijangkiti oleh Virus atau anda adalah salah seorang penyebar Virus sebagai senjata perang. Anwar tiada kredibiliti sebagai senjata perang. Tambahan pula, Mahathir sedang merasa kepahitan dari pengkhianatan dua orang ‘budak suruhan’ yang dipercayainya, yang kemudiannya melaksanakan Sheraton Move menjatuhkan orang tua tersebut dengan langkah yang sangat rapi, jitu dan tepat sekali.

Semestinya, rakyat marhaen kini telah tahu Tun M juga adalah pemegang senjata yang membunuh ini. Dia bukan sahaja menjadi senjata kepada PH malah dia juga menjadi senjata kepada agendanya sendiri. Benarlah penilaian politik oleh Dr. Maszlee Malik yang merupakan seorang Reformis Islamik tegas. Maszlee mengenali Mahathir sejak dari zaman Reformasi yang menyebabkan beliau diletakkan dalam “cold-storage” di universitinya sendiri. Walaupun begitu, Maszlee masih percayakan bahawa Tun M boleh menjadi ‘penawar’ untuk PH. Anwar masih tidak dapat menyaingi kerana beliau tidak mempunyai penyokong yang cukup. Walaupun beliau dikelilingi ramai musuh dalam selimut, beliau masih bersemangat waja meneruskan langkah untuk menewaskan penyandang jawatan tersebut. Seterusnya, tindakan bunuh diri beliau itu gagal dan akibatnya kini rakyat marhaen hidup dalam penderitaan dan rasa putus asa.

Sama ada rakyat Malaysia menanti selama tiga tahun atau tiga bulan, keputsannya akan tetap sama jika Anwar tidak melakukan ‘pengorbanan’ terakhir yang paling ikhlas. Dalam Islam, Muslim perlu bertawakal kepada Allah selepas melakukan segala tindakan dan usaha dengan bijaksana dan berhikmah. Tambahan pula, Anwar seharusnya mengamalkan nasihatnya sendiri dan bermuhasabah semula tujuan asal beliau terlibat dengan Reformasi – adakah ia demi rakyat atau demi kepentingan diri sendiri? Rakyat Malaysia sudah bosan dan merasa jijik dengan kedua-dua pemimpin ini tetapi dalam masa yang sama mereka memahami bahawa situasi ini memerlukan penyelesaian muktamad bagi menamatkan segera penderitaan kita semua. Haluan Nelson Mandela mungkin masih menjadi pilihan untuk Anwar dengan campur tangan kuasa Tuhan (semestinya saya bercakap dari aspek seorang Muslim). Atau, mungkin juga ada permutasi politik ‘lain’ yang dapat mewujudkan penyelesaian yang boleh diterima rakyat Malaysia.

Alternatifnya adalah sebuah hanya-seorang-untuk-satu-Malaysia berbanding dengan Malaysia untuk SEMUA.

Artikel penuh : https://www.sinchew.com.my/content/content_2295808.html

COMMENTS