Lewat bekal vaksin, Itali pertimbang saman Pfizer

Lewat bekal vaksin, Itali pertimbang saman Pfizer

ITALI sedang mempertimbang untuk memfailkan saman terhadap syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, gara-gara kelewatan dalam pengedaran vaksin COVID-19 yang dibeli Eropah.

Pesuruhjaya Khas Itali bagi COVID-19, Domenico Arcuri berkata, kelewatan menyebabkan negara itu terpaksa mengurangkan pemberian vaksin daripada purata 80,000 sehari kepada 28,000 sehari.

“Kami berkongsi pandangan dengan kerajaan serta pihak berkuasa daerah dan saya harus menyatakan ada konsensus mengenai perkara ini.

“Idea untuk menilai dan mempertimbangkan kemungkinan mempertahankan kepentingan Itali menggunakan institusi perundangan yang relevan.

“Susulan ini, pejabat peguam telah terlibat dan mereka sedang mempersiapkan kes dalam masa beberapa hari akan datang yang membawa kepada inisiatif untuk melindungi kempen vaksinasi di Itali dan menilai potensi kerosakan yang dapat ditimbulkan oleh gangguan atau penundaan kepada rakyat kita,” jelasnya.

Pfizer mengesahkan minggu lalu, pihaknya akan mengurangkan buat sementara waktu penghantaran vaksin ke Eropah dan Kanada.

Ini bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 2 bilion dos setahun di kilangnya di Belgium.

Setakat ini, Itali telah memberikan hampir 1.3 juta dos vaksin, lebih 80 peratus daripada jumlah dos yang dihantar ke negara itu.

COMMENTS